Kuasa ATM terbatas, hanya untuk tahan Pati di sempadan
Kuasa yang ada pada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah terbatas untuk menahan pendatang tanpa izin (Pati) di sempadan negara dan lorong tikus, kata Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.
Dalam taklimat medianya hari ini, Ismail berkata ATM hanya mengetuai operasi pelbagai agensi yang dikenali sebagai Op Bentang bagi mengawal sempadan negara daripada sebarang pencerobohan
"Sebab itu untuk darurat ini kita (ATM) diberikan kuasa polis - menangkap. Walaubagaimanapun, sekarang kita masih lagi beri tumpuan mengawal sempadan negara dari dibolosi Pati.
"Dengan kuasa tangkap Pati di kawasan sempadan terutama di lorong tikus, kita boleh kurangkan kemasukan Pati," katanya.
Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenaan terhadap pengisytiharan darurat selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Langkah itu diambil selepas negara ini terus mencatatkan jangkitan Covid-19 yang tinggi sejak November tahun lalu.
Ismail berkata, dengan perisytiharan darurat, ATM dan pihak polis mempunyai kuasa yang sama untuk melakukan penangkapan.
Kumpulan hak asasi manusia sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan tersebut.
NGO Tenaganita juga mendakwa Ismail menggunakan alasan Pati untuk mengabsahkan pengisytiharan darurat.
Sementara itu, Ismail menegaskan bahawa selain Op Benteng, ATM membantu pihak polis di sekatan jalan raya seperti yang dilakukan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menunggu laporan daripada Kementerian Kesihatan untuk memutuskan sama ada tempoh PKP akan dilanjutkan atau sebaliknya.
PKP yang dilaksanakan di enam negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur dijadualkan berakhir pada 26 Jan.
Namun hari ini, Ismail mengumumkan PKP akan diperluaskan ke seluruh negara, kecuali Sarawak.
Mengenai permintaan agar kedai makan dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam, Ismail berkata KKM akan meminta nasihat daripada kementerian kesihatan terlebih dahulu.
Ini selepas orang ramai melahirkan rasa kecewa kerana tidak sempat memesan makanan apabila kedai makan ditutup seawal jam 7 malam.
Di bawah prosedur operasi standard (SOP) PKP, kedai makan atau restoran hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 8 malam.

