Nota editor: Laporan ini telah dikemaskini untuk mencerminkan pendirian Tenaganita. Sebarang kesilapan dikesali.

Kumpulan hak asasi Tenaganita mendakwa Menteri Pertanahan Ismail Sabri Yaakob mempergunakan pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk mengabsahkan pengisytiharan darurat.

"Seruan Ismail agar tentera menangkap Pati menunjukkan betapa bermasalahnya sistem imigresen Malaysia hari ini dan bagaimana pihak berkuasa terus memainkan peranan dalam memangsakan kumpulan itu, dalam usaha mengabsahkan darurat," kata Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene A Das.

Pada Khamis lalu, Ismail berkata dengan penguatkuasaan darurat, tentera dapat menangkap warga asing yang cuba memasuki negara ini tanpa kebenaran.

“Kalau dahulu ATM hanya boleh ambil tindakan kalau ada kegiatan rentas sempadan di jalan tikus, sekarang mereka boleh menahan suspek untuk tindakan lanjut tanpa menunggu kehadiran polis,” katanya.

Ismail berkata demikian ketika ditanya apakah kuasa pada angkatan tentera sepanjang tempoh darurat. Dia tidak membuat gesaan agar tentera menangkap mereka.

Dia turut menasihati menteri tersebut supaya tidak menyalahkan pekerja asing susulan peningkatan kes Covid-19, memandangkan data menunjukkan jumlah kes positif lebih tinggi di kalangan warga tempatan.

Glorene A Das

“Ia sangat membimbangkan, kerana kenyataan sebegitu nampaknya berpunca dari permusuhan yang mendalam dan berakar umbi terhadap orang asing dari luar khususnya yang dipandang rendah dalam masyarakat.

“Kenyataan itu turut menberi bayangan jelas tentang xenofobia yang serius, selain menanam kebencian terhadap pekerja asing,” katanya lagi.

Dia juga berkata kenyataan Ismail mencerminkan kegagalan pihak imigresen dan pihak berkuasa lain yang berkaitan mengawal sempadan dengan berkesan.

Kementerian terlibat, katanya lagi, sepatutnya menumpukan usaha untuk memperbaiki kelemahan serius dalam sistem imigresen seperti yang dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) tahun lalu.

Pada Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos bagi membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Langkah itu dilakukan di saat negara mencatat kes empat digit sejak November tahun lalu.

Sementara itu, Penyelaras Lawyers for Liberty Zaid Malek turut meluahkan rasa bimbang dengan kenyataan Ismail berhubung kuasa ATM untuk menahan pendatang asing.

“ATM dilatih untuk berperang dalam konflik bersenjata melawan penceroboh asing dan bukan menahan orang awam.

“Kuasa untuk menahan rakyat biasa patut dilakukan hanya oleh pihak polis, yang dilatih untuk membuat penahanan demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pihak tentera hanya boleh digunakan untuk membantu polis memastikan kepatuhan perintah kawalan pergerakan.

[Baca berita asal]