Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Saya tetap istiqamah meski berdepan peluru fitnah
Diterbitkan:  Jan 20, 2021 5:22 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid berkata dia tetap teguh dengan perjuangannya meskipun berdepan "peluru fitnah" dan "roket-roket" penjahanam Umno.

Tanpa memberi penjelasan lanjut, kenyataan Ahmad Zahid dipercayai merujuk kepada "serangan" terhadapnya dewasa ini.

"Saya tetap istiqamah biarpun peluru-peluru fitnah dan roket-roket penjahanam Umno dari setiap sudut dalaman dan luaran dihamburkan bertubi-tubi kepada saya.

"Kekuatan Umno sebenar dari benteng-benteng di akar umbi. Biarpun pemimpin-pemimpinnya cuba dimusnahkan, namun bentengnya tetap utuh," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mendedahkan kesahihan surat sokongan Umno terhadap Anwar Ibrahim yang ditandatangani Ahmad Zahid dan Najib Razak.

Annuar berkata dia mendedahkan mengenai surat bertarikh 11 Okt lalu kerana tidak bersetuju dengan pendirian menyokong presiden PKR itu.

Ahli parlimen Ketereh itu membuat pendedahan berkenaan selepas dia digugurkan daripada jawatan setiausaha agung BN.

Selepas Annuar, beberapa pemimpin Pemuda Umno bahagian mendesak supaya Ahmad Zahid "berehat" daripada menjadi nakhoda parti.

Ketua Pemuda Umno Pontian, Helmi Buang antara pemimpin bahagian yang mahu presiden Umno itu berehat.

Lihat Komen
ADS