mk-logo
Berita
'Tak usahlah mana-mana ahli parlimen pandai sangat nak pertikai'
Diterbitkan:  Jan 21, 2021 2:38 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Bekas menteri undang-undang Nazri Abdul Aziz mempertahankan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang mengutus surat menggesa ahli parlimen parti itu mendesak agar sidang khas parlimen diadakan.

Kata Nazri ketika ini negara ditadbir oleh kerajaan minoriti. Justeru katanya segala keputusan yang dibuat parti perlu dipatuhi semua ahli parlimen Umno dan BN.

“Surat itu dikeluarkan di bawah mesyuarat biro politik, jadi tak usahlah mana-mana ahli parlimen (Umno dan BN) pandai sangat hendak argue (pertikai).

"Jangan pandai-pandai keluarkan kenyataan untuk kelirukan rakyat,” katanya seperti dipetik Sinar Online.

Sebelum ini bekas setiausaha agung Umno dan BN, Annuar Musa, mempertikaikan langkah Umno meminta ahli parlimennya mendesak agar sidang khas parlimen diadakan.

Ahli parlimen Ketereh itu memuat naik surat yang ditulis kepada Ahmad di Twitter dan mendakwa tindakan berkenaan tidak pernah dibincang atau diputuskan parti.

PAS - yang menjadi rakan Umno dalam Muafakat Nasional - berpendapat langkah mempertikaikan darurat sama seperti mempersoal keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod parlimen dan perlembagaan kini digantung berikutan pengisytiharan darurat pada 12 Jan lalu. Ia dijadual berpanjangan sehingga 1 Ogos kecuali ada sebab lain untuk memendekkannya.

Langkah menggantung parlimen dan perlembagaan itu bukan saja dikritik pembangkang, malah beberapa pemimpin Umno termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan timbalan presiden parti itu sekarang, Mohamad Hasan.

Pengkritik berpendapat langkah wajar yang patut diambil kerajaan Muhyiddin Yassin ialah mengisytiharkan darurat kesihatan dan membiarkan parlimen berfungsi seperti biasa.

Ia berlaku ketika jumlah ahli parlimen yang menyokong Muhyddin semakin berkurangan kepada 109 saja. Nazri adalah ahli parlimen terbaru yang menarik balik sokongannya kepada presiden Bersatu itu.

Kata Nazri surat dihantar Ahmad bukanlah berpunca daripada kehendak mana-mana individu sebaliknya dibuat hasil keputusan parti.

“Saya cuma tahu surat itu diutuskan selepas satu mesyuarat Biro Politik Umno diadakan baru-baru ini. Surat itu kehendak parti, bukan individu.

“Saya secara peribadi menyokong langkah Ahmad dan parti menggesa sidang khas parlimen diadakan pada saat darurat kerana tindakan itu tepat dan wajar,” katanya.

Nazri yang juga ahli parlimen Padang Rengas turut mengesahkan Ahmad menghantar surat itu kepada 41 ahli parlimen Umno dan BN.

Katanya pelaksanaan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional boleh dianggap seperti menghukum amalan demokrasi di negara ini.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini