Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan mohon batal saman isu Agong enggan isytihar darurat tahun lalu

Kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan tindakan undang-undang berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk tidak menerima cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk pengisytiharan darurat pada tahun lalu.

Permohonan itu difailkan peguam kanan persekutuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut salinan permohonan yang dilihat Malaysiakini, kerajaan membuat permohonan antara lain dengan asas tindakan itu remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Permohonan itu difailkan peguam Syed Iskandar Syed Jaafar pada 30 Oktober lalu. Dia antara lain meminta mahkamah menentukan sama ada Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun perdana menteri menasihatkan sebaliknya.

Dia juga meminta mahkamah menentukan perkara ini berdasarkan Artikel 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan keputusan Agong untuk tidak memperkenankan permohonan Muhyiddin dengan sebab kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu menangani wabak Covid-19 dengan baik.

Bagaimanapun, pada 21 Jan lalu, Agong memperkenankan nasihat Muhyiddin untuk proklamasi darurat.

Menurut afidavit sokongan permohonan pembatalan itu, kerajaan berkata plaintif, iaitu Syed Iskandar, gagal menyatakan apakah kepentingan awam dan peribadi yang telah dilanggar dengan keputusan Agong untuk permohonan kali pertama itu.

Syed Iskandar

Afidavit itu, yang ditandatangani Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa, mendakwa saman itu antara lain gagal menyatakan kepentingan perundangan plaintif dalam perkara itu, isu antara dia dan defendan serta hak perlembagaan yang didakwa telah dilanggar.

"Saya menyatakan yang penentuan hal ini oleh mahkamah adalah bersifat akademik.

"Keputusan (mahkamah) dalam persoalan ini tidak akan memberi kesan kepada keputusan (Agong tidak memperkenan permohonan Muhyiddin)," katanya.

Pada 19 Jan lalu, Syed Iskandar berkata dia akan meneruskan saman itu walaupun Agong telah memperkenan permohonan kedua Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat.

Katanya, tindakan itu bertujuan mendapatkan panduan mahkamah dari segi perundangan berkaitan kuasa perlembagaan berkenaan darurat.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 16 Feb untuk mendengar permohonan daripada sejumlah pihak untuk mencelah dalam tindakan itu.

Antaranya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi ahli Parlimen Pejuang yang dilaporkan memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS