Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuti Thaipusam: Kekalkan tradisi 1 Malaysia, kata Najib
Diterbitkan:  Jan 21, 2021 3:31 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan tiada keperluan untuk membatalkan cuti perayaan Thaipusam meskipun sambutannya terkesan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, Thaipusam merupakan antara perayaan terpenting bagi kaum India di Malaysia.

"Negeri-negeri Malaysia sudah berpuluh tahun mengisytiharkan perayaan ini sebagai hari cuti.

"Walaupun perayaan tahun ini terkesan akibat PKP, tiada perlunya untuk batalkan hari cuti sebab keluarga kaum India masih boleh meraikannya di rumah masing-masing.

"Kita kekalkan sahaja tradisi ini. Kita 1Malaysia," tulis Najib di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Noor dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajan negeri menyatakan bahawa tiada cuti peristiwa untuk Kedah bagi perayaan Thaipusam pada tahun ini, susulan situasi semasa berkaitan Covid-19.

Keputusan itu kemudian mendapat kecaman beberapa pemimpin politik khususnya Menteri Sumber Manusia yang juga Timbalan Presiden MIC M Saravanan, yang dilaporkan menganggap ia sebagai berat sebelah selain Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang menyifatkannya sebagai melampau.

Hari ini Muhammad Sanusi berkata keputusan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS untuk tidak mengumumkan cuti peristiwa sempena perayaan Thaipusam pada 28 Jan ini, bukan berniat menafikan hak penganut Hindu di negeri ini.

Sebaliknya penganut agama berkenaan masih boleh menyambut perayaan itu di mana-mana sahaja, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 yang telah ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar menyifatkan kenyataan menteri besar Kedah itu sebagai tidak sensitif terhadap masyarakat Hindu di Malaysia.

Katanya, ia juga turut membuktikan ketidakcekapan pemimpin PAS itu dalam memimpin kerajaan negeri.

"Kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi bahawa tidak akan ada cuti umum untuk Thaipusam tahun ini kerana PKP adalah sangat tidak sensitif terhadap masyarakat Hindu di Malaysia.

"Muhammad Sanusi, berkali-kali anda telah menunjukkan bahawa anda sebenarnya tidak cekap dan tidak dapat memimpin kerajaan negeri tanpa kontroversi.

"Dari (isu) pembalakan di Ulu Muda, melombong nadir bumi, membeli kereta mewah untuk kerajaan negeri gunakan di tengah pandemik dan sekarang anda telah menunjukkan warna sebenar anda kepada semua rakyat Malaysia. Saya menuntut agar anda melepaskan jawatan anda sebagai menteri besar," katanya.

Jelas Xavier perayaan Thaipusam masih boleh diadakan di rumah masing-masing meskipun tiada perarakan ataupun sambutan secara besar-besaran.

Lihat Komen
ADS