Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ujian Covid-19 'terhalang' sebab tak cukup sumber - KKM

Ujian Covid-19 di Malaysia sedang dilakukan bawah keupayaan maksimum kit RT-PCR kerana sumber manusia dan masalah bahan uji reagen, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Walaupun begitu, KKM merancang untuk tidak hanya memaksimumkan kapasiti itu tetapi menggandakannya menjadi 150,000 ujian setiap hari.

"Jadi mungkin perancangan KKM untuk menambahkan kapasiti dan keupayaan makmal kepada 150,000," katanya.

Pada masa ini, 68 makmal RT-PCR yang dibiayai secara terbuka dan swasta di seluruh negara mampu menjalankan 76,255 ujian setiap hari.

Semalam (20 Jan), KKM melakukan 47,820 ujian. Ini bermaksud makmal beroperasi pada 63 peratus daripada jumlah kapasiti maksimum mereka.

Ketika ditanya mengapa Malaysia tidak menguji dengan keupayaan maksimum, Noor Hisham berkata sumber daya manusia dan reagen tidak cukup.

"Di makmal tertentu, kami rasa kami masih dapat meningkatkan kapasiti. Kami perlu meneliti sumber daya manusia dan kami perlu mencari reagen," katanya.

Reagen ialah bahan yang digunakan dalam pembuatan kit ujian.

"Sekarang, kita melihat kerjasama antara swasta dan awam dan juga dengan universiti dan ATM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), sama ada kita boleh tingkatkan keupayaan kapasiti yang ada kepada 100,000 sebelum tambah lagi ke hospital-hospital (kita kepada 150,000)," katanya.

Pertambahan makmal ujian ini, jelasnya memerlukan sumber manusia dan penyelarasan.

"Sabah ada 6 makmal. Dan semenanjung ada 68 makmal.

"Jadi kita akan tingkatkan keupayaan makmal-makmal tersebut untuk cecah 100,000 ujian dalam masa terdekat.

"Dan kita juga akan tambah makmal di hospital-hospital seperti di Lahad Datu, Tawau dan sebagainya," katanya.

"Sasaran kami 150,000 ujian sehari. Jadi kami perlu latih lebih ramai orang tetapi buat masa sekarang kami perlu maksimumkan kapasiti sektor awam dan swasta dengan bekerjasama," jelasnya lagi.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS