Minta maaf: Pemuda Umno sokong pendirian Khairy
Pemuda Umno berpendapat, Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin tidak perlu meminta maaf kepada masyarakat Cina berhubung ucapan kontroversinya di Kedah baru-baru ini.
Pemuda Umno berpendapat, Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin tidak perlu meminta maaf kepada masyarakat Cina berhubung ucapan kontroversinya di Kedah baru-baru ini.
Beberapa orang pemimpin Pemuda Umno berkata, Khairy bercakap untuk menyedarkan orang Melayu dan bukannya menghina kaum lain.
Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Syukur Idrus berkata, menantu Perdana Menteri itu tidak perlu meminta maaf kerana apa yang diperkatakan adalah benar dan juga merupakan satu motivasi kepada orang Melayu.
"Pemuda Umno Selangor menyokong penuh kenyataan Khairy itu. Beliau bercakap untuk menyedarkan orang Melayu dan bukannya menghina kaum lain," katanya bagi mengulas desakan Pemuda MCA supaya Khairy meminta maaf terhadap ucapan kontroversinya di Jerlun, Kedah baru-baru ini.
Khairy dikatakan telah menguris perasaan pemimpin komponen BN apabila berkata, masyarakat Cina Malaysia akan mengambil kesempatan jika Umno berpecah dengan membuat pelbagai tuntutan bagi memenuhi kepentingan mereka.
Beliau merujuk kepada tuntutan Suqiu pada 1999 serta memorandum yang dikemukakan oleh pemimpin MCA kepada Perdana Menteri awal tahun ini berhubung kepentingan masyarakat Cina.
Abdul Syukur mempersoalkan adakah "desakan memohon maaf " itu kehendak Pemuda dan Wanita MCA atau ada pihak lain di belakang isu tersebut?
"Mengapa hanya Pemuda dan Wanita MCA yang bersuara, parti komponen Barisan Nasional (BN) lain seperti Pemuda MIC, Gerakan dan yang lain-lain membisu,"tanya beliau.
Tanggungjawab Pemuda
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Kedah, Zulfekri Awang pula berkata, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pemimpin Pemuda Umno untuk memperjuangakan hak dan kepentingan orang Melayu di negara ini.
"Apakah Khairy sebagai seorang pemimpin Pemuda Umno tidak boleh bersuara untuk menyedarkan orang Melayu tentang hak mereka di negara ini?
"Kalau dia tidak bersuara buat apa dia menjadi pemimpin Melayu? Kami melantik beliau untuk memperjuangkan hak orang Melayu.
"Adakah apa yang diperkatakan Khairy itu tidak benar? Khairy bukan menteri atau pegawai kerajaan. Dia bercakap sebagai pemimpin politik untuk ahli partinya," tambah beliau.
Zulfekri berkata, Pemuda MCA boleh bercakap untuk ahlinya atau kepentingan kaum Cina dan orang Melayu tidak mempertikaikannya.
Beliau bagaimanapun bimbang jika isu ini tidka ditangani segera, ada pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menangguk di air keruh.
Naib Ketua Pemuda Umno Terengganu, Che Khazan Che Mat berkata, isu Khairy dan Pemuda MCA tidak perlu diperbesarkan lagi kerana Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sendiri mahu isu itu diselesaikan mengikut saluran Barisan Nasional (BN).
" Bagi saya apa yang diperkatakan oleh Khairy itu benar belaka. Sebagai pemimpin beliau berhak untuk mengingatkan ahli-ahli Pemuda Umno."
"Terpulang kepada Khairy untuk meminta maaf kepada Pemuda MCA atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu.

