Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ICU penuh, pesakit Covid-19 akhirnya meninggal di klinik
Diterbitkan:  Jan 22, 2021 9:15 AM
Dikemaskini: 1:15 AM

GLOBAL | Gara-gara kes Covid-19 yang tinggi dan tiada katil tersedia di unit rawatan rapi (ICU) mana-mana hospital, salah seorang penderita wabak itu meninggal dunia selepas dua hari menunggu di klinik kesihatan.

Menurut media pesakit lelaki itu asalnya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan Tangerang Selatan di Banten.

Memetik kenyataan sukarelawan setempat Tribunnews melaporkan pesakit lelaki itu memang berada dalam keadaan tenat semasa ditempatkan di klinik kesihatan tersebut.

Sukarelawan itu berkata sebanyak 75 hospital di sekitar Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi dihubungi bagi mencari tempat kosong dalam ICU masing-masing namun gagal.

"Ketika kami sibuk mencari tempat dalam ICU untuk pesakit terbabit, dia menghembus nafas terakhir di klinik kesihatan Tangerang Selatan," katanya.

Bagaimanapun identiti dan asal pesakit itu tidak didedahkan dengan lebih lanjut atas permintaan keluarga mangsa.

Menurut sukarelawan itu lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan dan kekurangan oksigen sewaktu dibawa ke klinik kesihatan berhampiran kediamannya.

Sementara itu Kompas melaporkan isu kekurangan tempat dalam ICU memang dialami secara meluas dan ia turut menjejaskan pesakit yang bukan dijangkiti Covid-19.

Minggu lalu seorang wanita pesakit kanser turut meninggal dunia selepas keluarganya gagal mendapatkan ruang untuk rawatan ICU di hospital di kawasan Jakarta Timur.

Setakat pagi ini lebih 951,000 orang di seluruh Indonesia dijangkiti Covid-19. Daripada jumlah itu 27,200 orang meninggal dunia disebabkan wabak berkenaan.

Lihat Komen
ADS