Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maklumat sedikit, risiko tinggi - sebab tiada perlindungan insurans untuk Covid-19
Diterbitkan:  Jan 22, 2021 10:23 PM
Dikemaskini: 2:23 PM

Syarikat insurans tidak dapat menanggung keseluruhan kos rawatan Covid-19 memandangkan terlalu sedikit maklumat berkenaan virus tersebut untuk membolehkan mereka menetapkan harga polisi.

Pengerusi Persatuan Insuran Am Malaysia (Piam) Antony Lee berkata, sentiasa ada perkembangan baru berkenaan wabak itu dan ia menghalang syarikat insurans menentukan risiko.

Menerusi wawancara dengan radio BFM hari ini, dia berkata syarikat insurans perlu lebih data untuk menetapkan caj.

"Kita perlu data untuk meletakkan harga pada produk. Sangat sukar untuk cuba meneka tahap yang wajar...

"Ia situasi yang sentiasa berubah (evolving). Pastinya jika ada keperluan dan permintaan, syarikat insurans akan respons tetapi malangnya, kita tidak cukup tahu tentangnya. Maka sangat berisiko untuk cuba menetapkan harga dengan betul.

"Boleh jadi pada masa ini, harga (polisi) yang ditetapkan akhirnya tidak mampu dibeli," katanya.

Buat masa sekarang, katanya, syarikat insurans hanya dapat menawarkan polisi berkaitan Covid-19 yang terhad seperti insurans perjalanan, dan bukan insurans perubatan sepenuhnya.

Walaupun dengan program vaksinasi, katanya lagi, pihak insurans kekal berwaspada kerana belum banyak yang diketahui tentang vaksin Covid-19.

"Ia bergantung kepada keberkesanan vaksin."

Jadi siapa yang bayar?

Kenyataan Lee itu di saat Kementerian Kesihatan (KKM) dan sektor perubatan swasta sedang membincangkan integrasi hospital swasta untuk merawat Covid-19.

Ia selepas sistem kesihatan tidak dapat menampung jumlah kes yang bertambah.

Antara isu utama adalah berkenaan pilihan pembayaran pesakit jika mereka dirawat di kemudahan swasta.

Menurut hospital swasta, syarikat insurans patut terlibat bagi pesakit yang memiliki polisi insurans tetapi Lee berkata pihak hospital swasta yang perlu lebih berperanan.

Pelan insurans di seluruh dunia secara umumnya tidak melindungi risiko berkaitan wabak.

Pemegang taruh akan mengadakan perbincangan pusingan ketiga esok sebelum pelan integrasi sektor swasta diperkenalkan minggu depan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS