Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gantung parlimen, DUN dapat elak ahli politik bercakaran, kata pakar

Meskipun sudah lebih seminggu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19, namun sehingga hari ini ia masih menjadi perbincangan umum.

Antaranya berhubung soal penggantungan Dewan Rakyat mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas perkara itu, pakar perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata antara sebabnya untuk mengelakkan ahli politik daripada bercakaran sesama sendiri demi berebut kuasa.

"Saya tidak menolak bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat. Tapi saya selalu terfikir kenapa Yang di-Pertuan Agong tidak mahu atau pun mensyaratkan supaya Parlimen atau DUN tidak bersidang. Mesti ada sebab.

"Mungkin, ini anggapan saya semua ahli parlimen yang sebelum ini (tidak akur dengan) beberapa titah Tuanku supaya jangan berpolitik.

"Saya ingat rakan saya Syed Munawar menyatakan menyuruh atau mengarahkan orang politik untuk tidak berpolitik seperti mengarahkan pemain bola jangan bermain bola. Tapi saya fikir dalam konteks ini politiking yang dimaksudkan itu ialah politiking untuk jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.

“Atau menggunakan mekanisme di bawah tiket demokrasi, bawah tiket peruntukan perlembagaan untuk bertelagah antara satu sama lain.

“Ini yang saya fikir dalam konteks tanggungjawab ahli dewan rakyat itu tidak terhenti,” katanya pada majlis Wacana al-Quran bertajuk Darurat : Mandat Buat Rakyat? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian, hari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kemudian memaklumkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Agong.

Ekoran itu ramai ahli politik mempersoalkan penggantungan Parlimen pada saat cabang eksekutif dan kehakiman dalam kerajaan berjalan seperti biasa sepanjang darurat.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pula meminta ahli parlimen mengutuskan warkah kepada Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat ditarik semula dan parlimen bersidang secepat mungkin, sebelum 31 Januari.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga mengambil langkah serupa.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pula dilaporkan menghantar surat kepada ahli parlimen parti itu meminta menyokong gesaan sidang Parlimen khas diadakan berhubung pengisytiharan darurat, tetapi sebahagian besar MP menolak cadangan itu.

Sementara itu, Shamrahayu pada hari ini juga mengulas mengenai pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan.

Shamrahayu berkata kerajaan perlu menubuhkan dua jawatankuasa teknikal lain bawah jawatankuasa bebas darurat itu.

“Contohnya, kalau satu jawatankuasa bebas khas yang disebut dalam Ordinan Darurat itu, ia cuma satu jawatankuasa sahaja. Jadi, ia mungkin tidak mampu mendapatkan keseluruhan fakta.

“Jadi, di sini saya fikir ada dua jawatankuasa sekurang-kurangnya perlu ditubuhkan iaitu jawatankuasa yang mengandungi orang-orang politik sahaja atau jawatankuasa untuk memerangi Covid-19.

"Maknanya, apakah pelan tindakan? Kerajaan nak buat apa? Contohnya kalau nak buat ‘total lockdown’ apa persiapannya. Apa yang perlu kita sediakan kepada rakyat?Adakah perlu kita beri insentif RM700 kepada rakyat sebulan atau tambahkan moratorium untuk sebulan supaya rakyat benar-benar putus hubungan fizikal dengan masyarakat luar.

“Ini yang kita mahukan jawatankuasa ini beroperasi dan ia boleh dianggotai oleh pelbagai orang,” katanya selain menambah jawatankuasa itu juga memerlukan penglibatan anggota dewan negara.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor yang turut tampil dalam wacana itu berkata Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan oleh kerajaan berkuatkuasa pada 11 Januari lalu adalah sah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa peruntukan di dalam Ordinan Darurat yang diwartakan itu terutamanya Perkara 14 dan 15 perlu diteliti dengan sebaiknya.

“Kerana kita tak nak ada persepsi bahawa kerajaan semasa ini mengamalkan rule by law ('kuasa mutlak undang-undang') sedangkan banyak juga negara-negara lain juga melakukan darurat.

“Tapi mereka tidak menggantung kongres mereka seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom (juga) tidak menggantung parlimen mereka malah pada hari ini ada terma bersidang dari jarak jauh,” katanya.

Perkara 14 dan 15 dalam Ordinan Darurat yang diwartakan melibatkan memanggil, memprorog (menggantung) dan membubarkan persidangan parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa mulai 11 Jan 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Ordinan sepanjang 12 muka surat yang mengandungi 18 perkara itu telah dimasyhurkan oleh Agong.

Ordinan itu antara lain memperuntukkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam persekutuan berikutan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Muhamad Nadzri berkata apa yang diwartakan dalam Ordinan Darurat dilihat kurang konsisten dengan apa yang diistiharkan sebelum ini.

“Apa yang ada di situ telalu asas untuk kita tidak teliti dengan sebaiknya,” katanya.

Hadir sama dalam wacana itu Ketua Penyelidik Yayasan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.

Lihat Komen
ADS