Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
114 atau 115 MP tak setuju darurat saranan PN, dakwa Anwar

Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, hari ini mendakwa jumlah ahli parlimen yang bersetuju untuk menolak cadangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan darurat "lebih daripada mencukupi".

Setakat ini kata Anwar ada antara 114 hingga 115 ahli parlimen yang sepakat mahukan darurat dibatalkan.

Kata presiden PKR itu lagi dengan jumlah berkenaan cukup untuk memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mempertimbangkan usul tersebut dan memanggil sidang khas parlimen dengan segera.

"Sekarang telah mencecah 114 (atau) 115 yang menolak usul PN. Jumlah itu lebih daripada cukup menolak pandangan PN berhubung darurat, (ia) ditolak majoriti ahli Parlimen," katanya dalam program bual bicara Minda Profesor Negara hari ini.

Rabu lalu, Anwar mempertahankan tindakan pembangkang menulis surat kepada Agong untuk memohon perkenan baginda membenarkan parlimen bersidang ketika darurat.

Pada 14 Jan Anwar meminta semua anggota parlimen mengutuskan warkah kepada Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin, sebelum 31 Januari.

PH dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan mereka menghantar surat itu, manakala Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menghantar surat kepada ahli parlimen parti itu untuk meminta persetujuan mereka.

Pengisytiharan darurat - yang dikritik parti kerajaan dan pembangkang - seperti disarankan PN membawa kepada penggantungan parlimen serta perlembagaan.

Justeru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin didakwa menggunakan darurat sebagai cara untuk dia terus berkuasa walaupun selepas kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Mungkin tak sampai 90

Bagi pihak yang mempertahankan darurat, mereka menyifatkan pandangan yang tidak selari dengan pengisytiharan darurat sebagai menderhaka kepada Agong.

Antaranya bekas setiausaha agung BN Annuar Musa yang mempertikaikan tindakan Ahmad, selain Pemuda PAS yang mendakwa Anwar mengajak ahli parlimen menderhaka.

Di sebalik jumlah yang besar mahukan darurat ditamatkan, Anwar mengakui keputusan mengenainya bergantung kepada ihsan Agong.

“Ini tidak boleh disangkal. Apakah jumlah itu cukup? Itu lebih daripada mencukupi [...].

“Bagi saya, kalau tanya saya, sekarang jumlah mencukupi. Tapi kena tunggu ihsan dan budi bicara tuanku untuk mendapat makluman lanjut,” katanya.

Anwar turut berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga sedang berbincang mengenai usul darurat itu.

Bagaimanapun, dia tidak mengetahui hasil perbincangan GPS itu.

“Saya tak tahu apakah keputusannya tetapi ternyata kalau ini berlaku. Maknanya yang komited betul mendokong darurat dan penggantungan parlimen itu tak mungkin sampai 90 ahli parlimen, ataupun jauh lebih rendah,” katanya.

Lihat Komen
ADS