Seorang ahli perniagaan bergelar 'datuk' dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, dengan dua pertuduhan memukul dan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya.

Bagaimana Razali Daud, 64, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengugut dengan menakutkan isterinya, Nurhaslinda Anuar, 43, untuk mengambil pisau dan membelah kepala wanita itu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, Razali didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurhaslinda, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian, Kota Bharu, kira-kira jam11.30 pagi pada 16 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Pada prosiding itu, Shahril mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Namun, Ahmad Adha dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh mempunyai lima orang anak dan masih menanggung seorang daripadanya yang berusia 14 tahun.

"Anak guam saya juga menanggung ibunya yang berusia 82 tahun yang sedang sakit dengan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM3,000 sebulan untuk penjagaan kejururawatan dan ubat-ubatan. Anak guam saya juga mempunyai penyakit tekanan darah tinggi dan kebimbangan melampau dalam dirinya," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM6,500 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan tarikh 25 Mac depan untuk sebutan semula kes.