Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penutupan penuh ekonomi kali kedua beri kesan kekal - FMM
Diterbitkan:  Jan 25, 2021 4:59 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) hari ini menggesa anggotanya untuk memainkan peranan dalam membendung penularan Covid-19, dengan memberi amaran bahawa penutupan penuh ekonomi kali kedua akan menyebabkan "kerosakan terhadap perniagaan dan ekonomi yang tidak dapat dipulihkan".

"Oleh itu, sangat penting bagi industri untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dan memainkan peranannya dengan mengambil tindakan proaktif dan pencegahan tambahan untuk mengetatkan SOP yang ada di tempat kerja dan tempat tinggal pekerja," kata Presiden FMM Soh Thian Lai.

FMM berada pada taklimat yang sama oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) pada hari Jumaat lalu yang dihadiri oleh Dewan Perniagaan Kesatuan Eropah (Eurocham).

Pekeliling dalaman Eurocham kepada para anggotanya yang telah dibocorkan mendakwa bahawa kerajaan mungkin akan membuat "penutupan ekonomi sepenuhnya" sekiranya jumlah kes Covid-19 terus meningkat setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir pada 4 Februari.

 

Menurut Soh, kemas kini terbaru oleh pihak berkuasa mendakwa bahawa daripada 318 kluster Covid-19 yang aktif di negara ini, 99 atau 30 peratus berpunca dari sektor pembuatan.

Sehubungan dengan itu, katanya FMM telah mengeluarkan peringatan lain kepada anggotanya untuk mematuhi garis panduan perumahan, melakukan pemeriksaan Covid-19 secara besar-besaran, mengurangkan kapasiti bas pekerja hingga 50 peratus atau ke bawah, melantik pengurus kanan untuk menangani pematuhan SOP, mengasingkan pekerja yang disyaki dijangkiti Covid dan mengurangkan perjalanan kakitangan.

Sementara itu, Soh mengatakan FMM juga meminta bantuan kerajaan untuk mensubsidi kit ujian RTK-antigen, memberikan kadar piawai harga ujian RTK-antigen dan RTK-PCR di seluruh negara dan memastikan kemudahan ujian mencukupi.

FMM turut mengesyorkan agar kerajaan mengemukakan rancangan vaksinasi Covid-19 yang telus dan komprehensif.

"Pengumuman awal program vaksinasi nasional dan kumpulan yang diutamakan sangat penting terhadap rancangan kesinambungan perniagaan industri.

"Harus diakui bahawa selama pandemik melanda, pertumbuhan dan pelaburan oleh sektor swasta akan tetap perlahan dan pemulihan ekonomi akan terus lembap," katanya.

Lihat Komen
ADS