Paling Popular
Terkini

Bimbang dengan golongan orang buta yang terjejas pendapatan dan dipinggirkan sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) mengambil inisiatif sendiri menggerakkan sumbangan bagi membantu golongan tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif MAB George Thomas, sejak PKP dilaksanakan bermula 13 Januari di beberapa negeri, kebanyakan golongan orang buta yang bekerja sebagai tukang urut hilang punca pendapatan.

Dia berkata daripada 50,000 orang buta di negara ini, kebanyakan yang berada di Lembah Klang bekerja sebagai tukang urut dan ada juga yang bekerja dalam sektor awam dan swasta.

Tambahnya, kira-kira 3,000 hingga 5,000 tukang urut terjejas dengan pelaksanaan PKP.

“Sesetengahnya yang bekerja di sektor awam dan swasta hilang pekerjaan, ada yang majikan mereka berikan tiga hingga enam bulan gaji dan minta mereka berhenti.

“Jadi mereka berdepan dengan masalah, mereka cari kerja dan kita cuba tolong.

“Ia telah beri kesan besar kepada mereka dan kami cuba untuk menambah kemahiran mereka seperti melakukan perniagaan atas talian tapi ia tidak mudah, banyak cabaran,” katanya kepada Malaysiakini.

Sasar bantuan hingga RM400,000

Melalui sumbangan yang dimulakan sejak semalam, Thomas berkata MAB mensasarkan bantuan sekitar RM300,000 hingga RM400,000 kepada mereka yang terjejas.

Setakat petang ini, jumlah terkumpul melebihi RM70,000.

Membandingkan usaha MAB mengumpulkan jumlah sumbangan ketika PKP mula dilaksanakan pada Mac tahun lalu, dia menjangkakan dapat mencapai jumlah sasaran dalam tempoh seminggu atau dua minggu.

Katanya, MAB turut mendapat sumbangan daripada beberapa pihak seperti agensi perbankan.

Bagaimanapun, memandangkan bantuan tersebut tidak akan berpanjangan, dia meminta supaya kerajaan meletakkan pusat urut orang kurang upaya dalam kategori perubatan alternatif supaya dapat beroperasi.

"Kita telah memohonnya sebab kita tidak mahu pusat urut OKU diletakkan bawah kategori ‘hiburan’ kerana kita mahukannya ia di bawah kategori ‘perubatan alternatif’ di bawah Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Katanya, dengan itu ia dapat membantu 5,000 tukang urut menjana semula pendapatan ketika PKP.

Apabila ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di mana mereka mengelak daripada bersetuhan, Thomas mencadangkan ia tidak mustahil dengan SOP dan protokol yang diperlukan.

Bagaimanapun, katanya permohonan itu terhadap Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Mohon bantuan kerajaan

Selain itu, Thomas juga mencadangkan supaya kerajaan memberikan bantuan bagi golongan OKU yang terjejas menjana pendapatan melalui perniagaan atas talian dengan mewujudkan skim memulakan perniagaan sedemikian.

“Kebanyakan daripada mereka adalah tukang urut. Kita juga meminta kerajaan memberikan bantuan kewangan secara one-off supaya dapat meringankan beban mereka.

“Kadang-kala bukan sahaja makanan (yang perlu mereka fikirkan) tetapi juga sewa rumah, kedai yang mereka perlu bayar,” katanya yang mencadangkan bantuan RM500 sebulan dapat menolong mereka bertahan.

Menurutnya, bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, golongan OKU hanya dijanjikan barangan keperluan makanan melalui Program Bakul Makanan.

Katanya, ini berbeza dengan bantuan sewaktu awal PKP tahun lalu yang memberikan bantuan wang tunai RM300 secara one-off.

Program bawah JKM itu merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta.

Lihat Komen
ADS