story image
mk-logo
Berita
PKR saran T'ganu contohi Selangor beli sendiri vaksin Covid-19

PKR Terengganu menggesa kerajaan negeri itu mencontohi usaha pentadbiran Selangor membeli vaksin Covid-19 untuk kegunaan rakyat yang berkaitan.

Pengerusinya Azan Ismail berkata usaha mendapatkan vaksin Covid-19 tersebut perlu dilakukan segera ekoran Terengganu kini mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di negara iaitu pada tahap 1.31.

“Selangor antara negeri yang sudah mengumumkan cadangan untuk membeli sendiri vaksin kerana akses untuk orang awam lebih lewat, barangkali hanya penghujung Mei," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Azan kerajaan Terengganu patut membuat pengumum segera pelan mereka membeli vaksin berdasarkan kepada keadaan kadar Rt di negeri itu.

"Ada sebab kukuh untuk (kerajaan negeri) buat begitu,” katanya.

Jelasnya lagi, sekira perlu mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembelian berkenaan kerajaan Terengganu boleh berhubung dengan Selangor.

“Kalau tidak tahu, boleh berhubung dengan kerajaan Selangor sebab mereka dah umumkan.

“Kerajaan negeri Terengganu boleh minta nasihat untuk bertindak dengan cara sama,” tambahnya.

Semalam, berdasarkan infografik yang dikongsikan akaun Twitter Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Terengganu mencatatkan kadar Rt tertinggi dalam negara.

Rt untuk seluruh negara pula ialah 1.03.

Pada 18 Jan lalu, kerajaan Selangor menyatakan hasratnya membeli kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi rakyat negeri itu dan usaha berkenaan disambut baik oleh kerajaan persekutuan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain cuba membeli sendiri vaksin Covid-19, Azan berkata, PKR turut berharap kerajaan Terengganu menghulurkan bantuan lain pada kadar segera untuk membantu mengekang penularan wabak tersebut.

“Terengganu mempunyai banyak wang. Sepatutnya wang tersebut boleh digunakan untuk menjalankan aktiviti sanitasi di semua tempat awam,” katanya lagi.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS