Thaipusam: Reaksi MIC berbeza di Kedah dan P Pinang, dakwa Adun PKR
Seorang Adun PKR mendakwa MIC menunjukkan reaksi berbeza dalam isu sambutan perayaan Thaipusam di Kedah yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) dan Pulau Pinang di bawah PH.
Adun Hulu Kinta Muhammad Arafat Mahammad Varisai merujuk Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, M Saravanan yang dilaporkan campur tangan bagi membolehkan pergerakan pedati perak di Pulau Pinang.
"Pulau Pinang kita tidak kepada pergerakan pedati atas sebab wabak Covid-19. Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor juga memberi alasan sama untuk tidak mengisytiharkan cuti peristiwa.
"Kenapa MIC hanya campur tangan di Pulau Pinang dengan mendapatkan kebenaran pergerakan pedati tetapi di Kedah, mereka sekadar membuat kritikan di media?" soalnya dalam kenyataan.
Arafat yang juga Ketua Penerangan PKR Perak berkata, ia membayangkan MIC takut kepada PAS.
"Di negeri pembangkang MIC campur tangan tapi di negeri PN, mereka tidak berbuat demikian," katanya lagi.
Sebelum ini kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk tidak membenarkan perarakan pedati perak Kuil Nattukotai Chettiar di George Town bagi sambutan Thaipusam kali ini.
Bagaimanapun, pihak kuil menghubungi Saravanan dan seterusnya mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi acara itu.
Bagaimanapun menurut pemegang amanah kuil, Dr A Narayanan, pedati perak hanya dibawa ke kuil mengikut tradisi dan tidak melibatkan perarakan.
Tindakan Sanusi untuk tidak mengisytiharkan cuti peristiwa memang mencetuskan kritikan, antaranya daripada Presiden MIC SA Vigneswaran dan Saravanan sendiri, namun bagi Arafat, ia tidak memadai.
Antaranya, menurut Arafat, Saravanan selaku Menteri Sumber Manusia boleh meminta kerajaan pusat memberi cuti khas kepada penjawat awam persekutuan di Kedah, selain membincangkan tentang cuti khas dengan syarikat swasta untuk pekerja beragama Hindu di negeri itu.
Malaysiakini telah menghubungi Saravanan untuk mendapatkan komen.

