Tidak puas hati dengan kenyataan dakwaan yang mengatakan 99 peratus exco Pemuda Umno adalah kalangan jutawan, Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata dakwaan pengkaji politik tersebut perlu sepatutnya ditujukan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana menurut Isham, kajian Muhammad Asri Mohd Ali itu dijalankan pada 2002 itu dan Umno sedang dipimpin Mahathir sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

“Jika benar kajian tahun 2002 professor itu sekali pun, saya pasti sebahagian besar daripada pengikut-pengikut tegar yang kaya-raya semasa zaman Mahathir tersebut bukan lagi dalam Umno kini, tetapi besar kemungkinan kini mereka berada dalam PPBM (Bersatu) atau Pejuang atau menyokong kuat parti-parti ini.

“Oleh itu soalan profesor berkenaan sepatutnya dituju kepada Mahathir dan konco-konconya dalam PPBM atau Pejuang dan kroni-kroninya, bukan kepada pemuda Umno kini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 27 Jan lalu - dalam program bual bicara dalam talian anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) - Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menolak dakwaan kajian Asri yang mengatakan exco sayap Umno dibarisi ramai golongan jutawan.

Kata Asri, selain menghadiri ke mesyuarat menaiki kereta mewah seperti “Range Rover dan Porsche”, dia turut mencabar Asyraf menamakan seorang individu bukan jutawan dalam barisan exco Umno. 

Isham dalam hantaran di Facebook turut mendakwa Mahathir membentuk sistem politik wang di Malaysia sejak pentadbirannya sebelum ini.

“Bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika politik wang berleluasa pada ketika itu kerana walaupun Dr Mahathir berkata dia menentang politik wang, tetapi hakikatnya dialah yang membentuk sistem politik wang di Malaysia.

“Sebelum Mahathir, semasa zaman Tunku Abdul Rahman sehinggalah ke Tun Hussein Onn, politik wang tidak galak berlaku.

“Hanya pada zaman Mahathir dia sendiri dan konco-konco dan kroni-kroninya menjadi kaya raya, termasuklah anak-anaknya,” kata Isham.