Syarikat mohon maaf lepas pengawal keselamatan kasari pekerja Top Glove
Wakil Westlite Dormitory Management Sdn Bhd mengeluarkan permohonan maaf kepada seorang pekerja warga Nepal yang tinggal di asrama pekerja Top Glove, susulan rakaman yang menunjukkan seorang pengawal keselamatan menjerit dan menggunakan fizikal terhadap seorang pekerja.
"Kami akan mengenal pasti pekerja itu dan memohon maaf bagi pihak syarikat keselamatan atas insiden yang berlaku di hostel pada jam 9.30 pagi, 27 Jan," kata wakil syarikat itu. Daniel Ng dalam kenyataan semalam.
Ng berkata, Westlite telah memberitahu pengawal keselamatan dia tidak menepati standard syarikat dan notis telah diberikan kepada syarikat keselamatan agar dia disingkirkan.
Aduan rasmi juga akan dibuat berkenaan insiden itu, katanya.
"Perbuatannya tidak boleh dimaafkan dan dia bertanggungjawab sepenuhnya menjejaskan imej Top Glove dan Westlite. Tindakannya tidak wajar dan dia gagal menunjukkan kematangan dan profesionalisme, selain turut mengganggu penghuni lain," katanya lagi.
Dalam video itu, seorang pengawal keselamatan dilihat menjerit secara kasar dan menunjukkan isyarat ancaman terhadap seorang pekerja, sebelum menolaknya.
Sumber yang berhubung dengan pekerja Top Glove yang ada ketika kejadian itu memberitahu Malaysiakini yang ia tercetus ekoran salah faham berkenaan laluan yang perlu digunakan pekerja di hostel untuk ke kantin.
"Pengawal itu jadi marah dan agresif. Rakaman hanya tunjuk keadaan di ketika ia berlaku tetapi mereka yang ada di situ mendakwa sebelum dirakam, dia memukul pekerja," dakwa sumber.
Sumber juga memberitahu yang rakaman pukul ada dalam video yang lain tetapi telah dipadam oleh rakan sekerja pengawal terbabit.
Pekerja di asrama juga tidak gembira dengan keadaan tempat tinggal mereka dan barisan panjang untuk mendapat makanan, katanya lagi.
Dalam kenyataannya, Ng berkata mereka sedang membuat penilaian serius terhadap syarikat keselamatan dan tidak akan ragu-ragu untuk menamatkan perkhidmatan jika tidak menepati standard.
"Insiden ini tidak akan berulang lagi dan kami akan melakukan apa saja untuk membuat pemantauan," katanya.
Bulan lalu, polis selangor menerima laporan daripada Top Glove berhubung dakwaan salah laku seorang pegawai penguatkuasa di sekitar kemudahan kuarantin di Meru, Klang.
Ia selepas tularnya video yang menunjukkan seorang lelaki, dipercayai warga asing yang bekerja di kilang Top Glove, didera oleh seorang yang kelihatan seperti anggota keselamatan.
Insiden itu mencetuskan kemarahan dan siasatan dibuat.

