Malaysiakini
BERITA

Selangor pantau kilang, kenakan kompaun kes lewat lapor

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jan 2021, 3:28 pagi

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan meningkatkan pemantauan terhadap kilang di negeri itu dan mengambil tindakan terhadap klinik atau hospital swasta yang lewat melaporkan kes jangkitan Covid-19.

Ini selepas Selangor mencatatkan 3,126 kes baru Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara melonjak kepada 5,725 kes.

Selangor mencatatkan rekod tertinggi jangkitan Covid-19 pada 24 Nov lalu iaitu sebanyak 1,623 kes.

Amirudin, dalam satu kenyataan hari ini berkata peningkatan kes di Selangor antara lain berpunca daripada kes backlog daripada saringan pekerja kilang sejak 10 hari lalu.

"Taklimat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan bahawa peningkatan kes ini disumbang oleh beberapa faktor utama.

"Antaranya ialah kes kumulatif (backlog cases) dari saringan pekerja kilang, saringan di penjara serta saringan di klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus ataupun ‘real time’. ‘Backlog’ ini boleh dikesan dari kes yang berlaku 10 hari yang lalu.

"Bagi mengatasi masalah ini pihak JKNS akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari yang sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA)," katanya.

Amirudin berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan Covid-19 negeri Selangor malam tadi yang antara lain membincangkan mengenai peningkatan mendadak kes di negeri itu.

Selain itu, katanya, mesyuarat tersebut juga mengenalpasti kilang-kilang di seluruh negeri Selangor sebagai kawasan utama perebakan wabak

Minggu lalu, satu surat yang bocor mendedahkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) ingin menutup lebih banyak sektor ekonomi setelah mengenal pasti sektor pembuatan sebagai "sumber utama" jangkitan Covid-19.

Namun, ia menerima tekanan daripada menteri kabinet termasuk Azmin Ali dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Amirudin berkata kerajaan negeri akan melaksanakan Program ‘Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) iaitu program saringan di semua kilang dan tempat kerja yang berpotensi mencipta kluster.

"POIS akan dilaksanakan dengan kerjasama JKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM).

"Bagi mengelakkan tercetus kluster-kluster baru di kilang dan tempat kerja, kerajaan negeri Selangor akan mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk mengambil tindakan tegas dan menutup kilang yang menyembunyikan kes positif di kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama untuk aktiviti pengesanan kontak rapat (contact tracing)," katanya.

Selain itu dia berkata kerajaan negeri juga bercadang menambah pusat Covid Assessment Center (CAC) terutama di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak. 

CAC berperanan untuk menganalisa pesakit Covid-19 bagi dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum dibawa ke pusat kuarantin ataupun hospital untuk rawatan lanjut.

"Saya menyeru semua rakyat untuk bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 ini dengan mengamalkan pematuhan SOP. Kekal konsisten memakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.