Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) berharap kerajaan dapat merangka program khas bagi membantu dan meringankan beban yang dihadapi petugas media serta bekas kakitangan industri ini.

Presiden NUJ, Farah Marshita Abdul Patah, berkata sebahagian besar bekas kakitangan media berdepan nasib malang apabila ada sebahagian mereka diberhentikan kerja sejak tahun 2019 lagi.

Jelasnya, lebih 3,000 kakitangan dalam industri media diberhentikan secara berperingkat sejak 2019 disebabkan oleh faktor kelembapan industri dan kesan pendemik Covid-19.

"NUJ menggesa kerajaan agar memberi perhatian kepada cabaran getir yang dihadapi oleh petugas media Malaysia yang kini berdepan cabaran bertugas dalam pandemik Covid-19.

“Lebih sukar, ada juga bekas kakitangan media yang diberhentikan tanpa sebarang pampasan disebabkan penutupan operasi secara mengejut. Sebahagian besar daripada mereka berdepan dengan situasi yang amat mencabar dalam mencari pekerjaan baharu disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Bagi bekas pekerja yang menerima pampasan daripada majikan, kebanyakan daripada mereka telah menceburi pelbagai bidang perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun pendemik yang berlarutan sejak 2019 telah memberi kesan besar kepada perniagaan mereka yang baru bertatih di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, pada Sep 2018, syarikat Utusan Melayu (M) Bhd dilaporkan menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada lebih separuh daripada kakitangannya.

Memetik sumber-sumber yang tidak didedahkan The Edge mendakwa seramai 800 orang akan ditawarkan VSS berkenaan dan untuk rekod jumlah kakitangan syarikat tersebut ialah kira-kira 1,500 orang.

Selepas Utusan Melayu, sejumlah 543 kakitangan kumpulan New Straits Times Press (NSTP) pada Mac tahun lalu mengambil VSS berikutan langkah pengurangan pekerja yang sedang dibuat Media Prima Bhd.

Dalam pada itu, Farah berkata industri media dilihat terus suram untuk beberapa tahun akan datang.

Perkembangan itu bukan sahaja memadam hasrat bekas kakitangan media ini untuk kembali berkhidmat di dalam industri ini, malah, turut mematikan semangat warga media yang masih bertugas dalam industri.

"Dalam membuat liputan sepanjang penularan Covid-19, petugas media juga seolah diketepikan, sama ada dari segi kebajikan mahupun keselamatan.

"Tiada peruntukan khas bagi membeli peralatan keselamatan, pemeriksaan kesihatan mahupun elaun perubatan diberikan kepada petugas media dalam membuat liputan seharian terutama di tempat- tempat berisiko.

"Pihak NUJ berharap agar kerajaan dapat merangka program khas yang dapat membantu dan meringankan beban yang dihadapi petugas media dan bekas kakitangan industri ini dengan segera berikutan pengumuman Proklamasi Darurat sehingga Ogos tahun ini dilihat akan terus memberi tekanan kepada pemulihan industri ini," katanya.