story images
story images
mk-logo
Berita
Ebit Lew henti bantuan di Semporna, dakwa dihalang ke pulau
Diterbitkan:  Feb 2, 2021 8:20 AM
Dikemaskini: 8:46 AM

Pendakwah bebas, Ebit Lew hari ini memaklumkan dia terpaksa menghentikan segala bentuk bantuan kepada penduduk di pulau-pulau Semporna, Sabah.

Dalam catatan di Facebooknya, Ebit berkata ia termasuk ikhtiarnya untuk membina sekolah serta menyediakan ustaz untuk mengajar mereka yang diIslamkannya semalam.

"Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.

"Pagi ini, saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke pulau-pulau di Semporna minta diberhentikan bantuan di sekitar sini.

"Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun," katanya.

Ebit semalam dilapor membawa satu kampung berjumlah 157 orang dari suku Bajau Laut di Sabah memeluk Islam.

Dalam catatan di Facebooknya, Ebit menceritakan beliau ke Pulau Tatagan di Semporna dalam misi bantuan kemanusiaannya ke Negeri Di Bawah Bayu.

Katanya, kesemua penduduk di kawasan tersebut tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut dan lebih menyedihkan mereka dalam kesusahan, terputus bekalan makanan.

Mengulas lanjut, Ebit berkata pihaknya telah menyediakan barang keperluan bagi pembinaan sekolah yang dijanjikan.

Namun, katanya ia tidak dapat diteruskan.

"Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang.

"Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul tujuh orang guru. Semangat mereka nak mendidik dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf ya ustaz dan ustazah semua," katanya.

Bagaimanapun, kata Ebit dia menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

"Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke pulau-pulau.

"Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri. Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati, perjuangan diteruskan.

"Saya serahkan segala urusan kepada Allah SWT. Cukuplah kepada Allah SWT orang mukmin itu berserah," tambahnya.

Malaysiakini sedang menghubungi Ebit untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pihak yang didakwa menghalangnya ke pulau-pulau berkenaan.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini