Malaysiakini
BERITA

Pemimpin muda Bersatu didakwa di mahkamah kes dadah

Faisal Asyraf & Hidir Reduan Abdul Rashid

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Feb 2021, 11:59 tengahari

Seorang pemimpin muda Bersatu, Adam Asmuni didakwa mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin berkata, Adam, 35, dituduh dengan satu pertuduhan berkaitan dengan akta itu yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

"Dia dituduh dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 39B pada 29 Januari di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Saiful tidak memberi perincian tuduhan itu.

Tindakan mahkamah itu setelah polis didakwa menangkapnya dengan bahan terlarang pada 20 Januari, dan siasatan lanjut membawa polis ke rumah di Ampang dan polis didakwa merampas 1.5kg daun ganja kering, sembilan tanaman ganja, dan sejumlah besar cecair dipercayai mengandungi narkotik.

Isterinya Lyiana Roslee, 34, dan seorang warga asing juga ditangkap di premis tersebut. Lyiana didakwa dengan tuduhan mengedar dan menghasilkan dadah di Mahkamah Majistret Ampang semalam, sementara individu lain belum didakwa.

Semasa pilihan raya umum 2018, Adam adalah calon Bersatu untuk kerusi parlimen di Perak. Dia juga pernah menggalas jawatan timbalan pengerusi Biro Kebajikan Pemuda Bersatu (Armada).

Hasil pemeriksaan di ecourtservices.kehakiman.gov.my menunjukkan bahawa Adam dihadapkan ke hadapan Majistret (Bidang Kuasa Jenayah) Wong Chai Sia di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur jam 12 tengah hari pada 29 Januari.

Semakan dalam talian juga menyenaraikan kes itu akan disebut di hadapan hakim yang sama pada pukul 12 tengah hari 19 April.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.