Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hospital Miri nafi wanita terlepas masuk ke wad Covid-19
Diterbitkan:  Feb 3, 2021 10:33 PM
Dikemaskini: 2:33 PM

Pengurusan Hospital Miri di Sarawak menafikan dakwaan bahawa seorang wanita terlepas masuk ke wad pesakit Covid-19 untuk melawat salah seorang ahli keluarganya di hospital tersebut.

Sebaliknya, pihak pengurusan hospital tampil menjelaskan bahawa insiden dari rakaman video tular itu berlaku akibat keengganan ahli keluarga pesakit memberikan kerjasama dalam mematuhi polisi hospital.

“Setelah sesi kaunseling diberikan, ahli keluarga berkenaan mengaku bahawa dia mengalami kerisauan terhadap pesakit sehingga menyebabkan tekanan emosi yang tinggi.

“Hospital ingin menjelaskan bahawa insiden ini bukan berlaku di Wad Pesakit Covid-19. Sehubungan itu, pengurusan Hospital Miri meminta orang ramai menghentikan penyebaran video tersebut di media sosial bagi melindungi kepentingan pesakit dan keluarga mereka,” menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan hospital berkata insiden tersebut juga telah selesai dengan bantuan daripada pihak polis.

Dalam rakaman yang tular di media sosial hari ini menunjukkan seorang wanita bertengkar dengan beberapa petugas kesihatan yang memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE).

Insiden tersebut dirakam oleh salah seorang petugas kesihatan hospital itu, di mana pada masa sama mereka meminta wanita terbabit beredar.

Bagaimanapun wanita terbabit enggan berbuat demikian.

“Oleh itu, kakitangan hospital telah bertindak untuk mengambil video dengan tujuan untuk memaklumkan kepada ketua jabatan dan rakan sekerja yang lain bagi mendapatkan bantuan.

“Kaedah rakaman video dibuat memandangkan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) telah menyukarkan komunikasi di antara kakitangan wad dengan pihak luar,” menurut kenyataan itu.

 

 

Lihat Komen
ADS