Paling Popular
Terkini

Seorang wanita hasil perkongsian hidup bapa berlaianan agama berjaya mendapatkan pengisytiharan di mahkamah bahawa dia seorang bukan Islam.

Mahkamah Persekutuan memutuskan Rosliza Ibrahim, yang bapanya seorang Islam tetapi ibunya tidak, tidak pernah menjadi orang Islam.

Keputusan itu dibuat setelah sembilan panel hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendengar rayuan Rosliza hari ini.

Mahkamah memutuskan tiada bukti atau rekod menunjukkan wanita yang dibesarkan oleh ibunya yang beragama Buddha dari kecil itu pernah menganut Islam.

Mahkamah memutuskan kes ini berbeza dengan kes Lina Joy yang dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi mahu keluar agama.

Kerajaan Selangor menjadi responden pertama untuk rayuan hari ini, diikuti oleh Majlis Agama Islam Selangor (Jais).

Rosliza merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2017 yang tidak membenarkan saman pemulanya untuk mendapatkan pengisytiharan bukan Islam.

Pada April 2018, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan seorang wanita yang dilahirkan luar nikah, berbapakan seorang Muslim dan ibu penganut agama Buddha, berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk diisytiharkan sebagai bukan Muslim.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim dalam penghakimaan dengan keputusan majoriti 7-2 itu membenarkan rayuan Rosliza Ibrahim serta permohonannya.

Beliau memutuskan bahawa Rosliza bukan orang yang menganut agama Islam kerana tidak ada bukti bahawa beliau adalah seorang Islam dengan kepercayaan yang sebenar.

Tengku Maimun berkata Rosliza dan ibunya tidak pernah menjadi seorang Muslim.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang bersetuju dengan Tengku Maimun.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim setuju dengan Tengku Maimun berhubung dua persoalan undang-undang itu namun berpendapat tidak boleh membuat sebarang perintah berhubung pengisytiharan yang diminta Rosliza kerana tidak mempunyai pandangan jawatankuasa fatwa.

Rosliza, 38, memfailkan saman pemula pada 2015 untuk mendapatkan satu pengisytiharan bahawa beliau telah dilahirkan sebelum bapanya, yang beragama Islam dan mendiang ibunya, penganut Buddha, berkahwin.

Pada 22 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman pemula itu atas alasan bukti yang dikemukakan pemohon hanya menunjukkan bahawa tiada pendaftaran perkahwinan dibuat dan perkara itu tidak membuktikan bahawa perkahwinan itu tidak berlaku.

Wanita itu kemudiannya merayu namun gagal setelah rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 25 April 2018.

Pada 20 Jan tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Rosliza untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap dua isu perundangan yang perlu diputuskan mahkamah.

ADS