Seramai 17 Adun PH di Negeri Sembilan termasuk bekas wakil rakyat, serta dua penyelaras kawasan sebelum ini diarahkan memulangkan peruntukan bagi tempoh Julai hingga September.

Arahan itu dikeluarkan Menteri Besar, Ismail Lasim pada 26 Ogos lalu, selepas BN dan PN mengambil alih kerajaan negeri susulan kemepnaan dalam pilihan raya negeri (PRN).

Setiap Adun diarahkan memulangkan RM174,000, manakala dua penyelaras kawasan Paroi dan Labu masing-masing perlu membayar balik RM150,000.

Peruntukan berkenaan sebelum ini disalurkan bagi kegunaan pusat khidmat dan program kebajikan rakyat.

Namun, selepas tempoh sebulan yang diberikan untuk membuat bayaran balik berakhir hujung minggu lalu, wakil rakyat PH terbabit masih belum menerima keputusan kerajaan negeri mengenai rayuan mereka.

Adun Chuah, Yew Boon Lye, berkata rayuan telah dikemukakan tidak lama selepas mereka menerima surat arahan daripada Ismail.

“Belum lagi (terima sebarang maklum balas). Dia orang pun sibuk.

"Itu pun keputusan Exco, dia orang (BN) pun tak ada Exo macam mana?" ujarnya.

Yew berkata keadaan itu mungkin berkait dengan kemelut istana yang memberi kesan kepada kerajaan negeri.

Krisis berkenaan memuncak pada 20 Sept lalu apabila Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua 10 anggota exco negeri kecuali Ismail.

Kesahihan tindakan tersebut bagaimanapun menjadi pertikaian.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Ismail untuk mendapatkan respons.

Pada 16 Sept lalu barisan exco Negeri Sembilan mengiktiraf proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Jaafar dan menggesa Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru.

Berhubung peruntukan itu, Ismail sebelum ini menjelaskan bahawa bayaran balik perlu dibuat kerana penerima tidak lagi menjalankan fungsi rasmi selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 5 Jun.

Arahan itu melibatkan peruntukan yang telah disalurkan kepada Adun serta penyelaras kawasan Paroi dan Labu.

Sehari selepas arahan dikeluarkan, sekumpulan Adun PH yang diketuai Adun Nilai, J Arul Kumar, membantah perkara itu.

Mereka berkata wang tersebut sudah digunakan untuk membantu rakyat dan tidak lagi berada dalam simpanan mereka.

Arul mempersoalkan sama ada mereka perlu meminta rakyat memulangkan wang yang telah diterima.

Menurutnya, wakil rakyat yang masih mempunyai baki peruntukan selepas 30 Jun sudah memulangkan wang yang tidak digunakan kepada kerajaan negeri.

Pemimpin DA itu turut menegaskan bahawa peruntukan berkenaan telah diluluskan oleh exco negeri pada 3 Jun, iaitu sebelum DUN dibubarkan.

Mereka berkata wang tersebut kemudiannya disalurkan kepada rakyat melalui pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan individu.