Nama Hasmah dicadang diabadikan di Kampung Jawa Selangor
Pemergian Dr Hasmah Mohamad Ali pada Isnin lalu bukan sekadar menyentuh hati jutaan orang, malah mencetuskan keinginan agar sosok isteri Dr Mahathir Mohamad itu terus diingati atas pelbagai sumbangannya.
Misalnya, ahli akademik di Universiti Selangor, Mohamed Hadi Abd Hamid, yang mencadangkan agar nama Hasmah diabadikan pada mana-mana tempat awam seperti sekolah atau yang seumpama dengannya.
Kata Mohamed Hadi antara cadangan yang relevan ialah menamakan sekolah dengan nama Hasmah, khususnya di Kampung Jawa, di Kelang, Selangor, yang menjadi tempat kelahiran wanita terbabit.
Felo Penyelidik di Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemaju Demokrasi (IESAD) Unisel itu menambah, Hasmah merupakan anak kelahiran Kelang, justeru sesuai jika ada sekolah di situ dinamakan semula dengan wanita terbabit.
“Misalnya Sek Keb Kampung Jawa dan Sek Men Keb Kampung Jawa,” katanya kepada Malaysiakini.
Jika ada pilihan lain, tambahnya, nama antara anak Melayu terawal menjadi doktor di Malaysia itu boleh diabadikan pada mana-mana institusi pendidikan atau kesihatan, atau jalan.
Hal tersebut, kata Mohamed Hadi lagi, bukanlah asing di negara ini kerana pernah dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengenang sumbangan besar pelbagai tokoh yang terkenal.
Misalnya, tambah Mohamed Hadi (gambar bawah), sebuah sekolah di Kampung Jawa di Pulau Pinang yang ditukar namanya menjadi Sek Keb Tan Sri P Ramlee untuk memperingati seniman agung berkenaan yang lahir di situ.
/file/attachments/orphans/t1_180953.png)
Untuk rekod selain sekolah, nama P Ramlee juga diabadikan pada sebatang jalan di bandar raya George Town.
“Bagi saya tak ada istilah ‘sekadar tukar nama’ kerana apa yang dilakukan itu sekurang-kurang orang akan kenal serta menghargai sejarah.
“Contohnya jika ada yang bertanya kenapa sekolah di Kampung Jawa Kelang diberi nama Tun Hasmah, kita boleh jelaskan – kerana Tun Hasmah lahir di Kampung Jawa dan keluarganya pernah tinggal di situ.
“Kalau tidak, mungkin orang tak tahu pun sejarah tersebut,” katanya lagi.
Hasmah menghembus nafas terakhir pada pagi Isnin lalu selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada Sabtu. Dia baru saja menyambut hari kelahiran ke-100 pada Julai lalu.
Penduduk setempat rasa bertuah
Walaupun menjadi isteri perdana menteri selama lebih 22 tahun, ingatan orang ramai kepada Hasmah lebih kepada watak seorang ibu dan tokoh penyayang. Malah dia sangat jarang bercakap atau menyentuh isu-isu politik atau pentadbiran.
Namanya juga jarang disentuh atau diktitik termasuk ketika suaminya melaksanakan dasar yang tidak disenangi pihak pembangkang.
Sebagai menghargai jasa dicurahkan Hasmah, kerajaan memberikan penghargaan dengan memberikan istiadat pengebumian pembesar negara. Jasad Hasmah dikebumikan di Pusara Negara di Presint 20 Putrajaya pada petang Isnin lalu.
Mengulas cadangan tersebut, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan, menyokongnya kerana berpendapat ia menzahirkan penghargaan negara ke atas Hasmah.

“Ia memang wajar direalisasikan apatah lagi kerana kawasan Kampung Jawa di Kelang itu pernah menjadi tempat Allahyarham dibesarkan dan sempat mengikuti pendidikan awal.
“Menukar nama sekolah atau premis awam dapat memberi perangsang dan motivasi, selain menjadi contoh kepada masyarakat,” katanya.
Mohamad Ali (gambar atas) menambah kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk mengabadikan nama Hasmah pada institusi kesihatan yang bersesuaian.
“Mungkin kerajaan boleh memberi penghormatan sama untuk hospital atau klinik wanita dan kanak-kanak,” katanya.
/file/1142/82b83621b62b9abe8e5d504e75530c46.jpeg)
Ahli akademik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Zuliskandar Ramli, juga berpendapat menamakan sekolah di Kampung Jawa dengan Hasmah adalah suatu langkah yang betul.
Katanya cadangan itu mempunyai nilai sejarah kerana mengaitkan seorang tokoh negara yang berjasa besar dengan tempat kelahirannya sendiri.
“Pada pandangan saya ini amat baik kerana beliau ialah tokoh terbilang negara, individu yang cemerlang.
“Saya yakin masyarakat di Kampung Jawa sangat bertuah kerana di tempat mereka pernah lahir seorang tokoh yang terbilang dan berjasa besar,” katanya.
/file/attachments/orphans/ProfMadyaDrZuliskandarRaml1_330851.png)
Zuliskandar (gambar atas) juga berpandangan nama isteri bekas perdana menteri pernah diabadikan pada sekolah – juga di Selangor.
Dia merujuk kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sabak Bernam yang ditukar menjadi SMKA Tun Hajah Rahah bagi mengenang jasa isteri kepada perdana menteri kedua, Allahyarham Abdul Razak Hussein.
Ditanya kemungkinan langkah tersebut boleh menjejaskan identiti asal Kampung Jawa, Zuliskandar berpandangan ia tidak akan memberi kesan negatif malah sebaliknya membawa nilai tambah.
Kampung Jawa, katanya, mungkin mempunyai sejarah dan identiti setempat dan jika cadangan tersebut diterima, kawasan berkenaan akan menjadi lebih bermakna.
“Allahyarham berjaya membuktikan bahawa wanita Melayu juga berkebolehan, bijak dan cekal setanding dengan bangsa lain pada waktu itu.
“Ramai yang mengidolakan beliau,” katanya.
/file/attachments/orphans/drsitihasmah32123123_746465.png)
