Pulau Pinang minta pelan komprehensif laksana saringan Covid-19
Kerajaan negeri Pulau Pinang meminta Kerajaan Pusat untuk menyediakan satu pelan tindakan komprehensif dalam memastikan ujian saringan mandatori Covid-19 untuk pekerja asing di negeri itu, dapat diselesaikan sebelum 28 Feb.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berharap, agar saringan mandatori itu dapat diselesaikan bagi membolehkan fasa vaksinasi yang dijadualkan bermula hujung bulan ini, dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, arahan lengkap dan jelas boleh disediakan Kerajaan Pusat, supaya kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam menyelesaikan ujian saringan mandatori itu, mengikut masa ditetapkan.
“Adalah baik untuk kita mempunyai satu pelan tindakan apabila kita hendak mulakan proses vaksinasi tetapi kita mahu untuk ada arahan jelas, bagaimana kita boleh selesaikan ujian saringan mandatori Covid-19 untuk 128,000 pekerja asing di George Town sebelum 28 Feb.
Tanpa sebarang arahan, usaha kami akan menjadi sia-sia,” katanya pada sidang media sebelum mengadakan pemeriksaan mengejut berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Apartment Sri Pelangi, George Town.
Ujian saringan mandatori Covid-19 telah dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) dengan kerjasama klinik swasta dan hospital di zon merah di Pulau Pinang pada 9 Dis tahun lepas.
Stastistik Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menunjukkan, sehingga 31 Jan tahun ini tidak sampai 50 peratus pekerja asing berdaftar di Pulau Pinang, telah menjalani ujian saringan.
- Bernama

