Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR T'ganu cadang SOP standard untuk semua perayaan

Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail mencadangkan agar kerajaan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) tetap bagi semua perayaan.

Jelasnya, ini bagi mengelakkan kerajaan memenuhi tuntutan atas dasar politik dan bukan sebab kesihatan untuk mencegah penularan Covid-19.

“SOP kerajaan tentang perayaan sangat keliru. Jika ada pihak membantah, kerajaan akan ubah. Jadi desakan ini sudah seperti ada unsur politik dan bukan untuk cegah penularan Covid-19.

“Kerajaan harus wujudkan satu garis panduan yang standard bagi semua perayaan keagamaan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) membatalkan peraturan had maksimum "20 orang setiap rumah" dalam SOP sambutan Tahun Baru Cina berbanding apa yang dinyatakan terdahulu.

SOP baru itu bagaimanapun mengekalkan peraturan jamuan makan besar perayaan tersebut hanya boleh diraikan oleh anggota keluarga dari rumah yang sama.

Untuk rekod, melalui SOP dikeluarkan pada 4 Feb, MKN menyatakan jamuan makan besar itu terhad kepada maksimum 20 orang dari rumah yang sama.

Bagaimanapun, beberapa persatuan Cina hari ini, mendakwa tuntutan mereka tidak dipenuhi semasa perbincangan dengan kerajaan berhubung garis panduan Covid-19 bagi sambutan Tahun Baru Cina pada 12 dan 13 Februari ini.

Sementara itu, Azan menambah, SOP standard bagi semua perayaan perlu diwujudkan susulan kes Covid-19 yang meningkat.

Tambahnya, dengan kes kian memuncak, tidak mustahil rakyat terpaksa menyambut beberapa perayaan lagi dengan garis panduan yang tegas.

“Sekarang kes Covid-19 tengah memuncak, mungkin ada beberapa perayaan lain kita kena sambut dengan garis panduan bagi mencegah penularan (wabak) itu.

“Jika tiada SOP standard khususnya untuk perayaan, orang akan keliru dengan garis panduan sedia ada, kerana untuk Melayu lain, India lain, Cina lain. Jadi perlu ketetapan (SOP) untuk itu,” jelasnya.

Untuk rekod, umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan pada 13 April dan merayakan Aidilfitri pada 13 Mei depan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS