Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tulisan saya ini adalah respon kepada artikel yang ditulis Fazreen Kamal bertajuk “Di sebalik aplikasi SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat” yang telah diterbitkan pada 3 Feb lalu di laman sesawang MalaysiaNow.

Pada saat-saat getir negara berdepan dengan Covid-19, wujud pula sesetengah pihak yang cuba menakut-nakutkan khalayak umum dengan menyebarkan maklumat yang tidak benar, sekali gus membantutkan usaha kerajaan Selangor untuk membendung keluk gelombang ketiga pandemik tersebut.

Sejak diperkenalkan pada 4 Mei 2020, SELangkah terbukti efisien. Dengan kepintaran jejak kontak rapat berasaskan kod QR, aplikasi ini mampu mengumpul data maklum balas daripada rakyat, meninjau situasi terkini, dan menyediakan informasi semasa kepada penggunanya.

SELangkah maju sebagai aplikasi digital yang memanfaatkan sains data (data science) dan teknologi mesin (machine learning) bagi mengawal Covid-19.

MySejahtera pula - yang dilancarkan pada 20 April 2020 untuk kegunaan rakyat Malaysia - sekadar mengikuti jejak kontak rapat yang dipelopori SELangkah.

Bagaimanapun pertikaian siapa yang berjaya buat sesuatu terlebih dahulu bukan persoalan utama. Sebaliknya, kita mahu memastikan kebolehhantaran kedua-dua sistem ini.

Aplikasi SELangkah direka khas untuk membenarkan sebanyak mungkin data dianalisis. Aplikasi ini bukan sahaja bertindak sebagai platform pendaftaran selepas mengesan kod QR di telefon bimbit, bahkan ia memaklumkan penggunanya mengenai kawasan berisiko tinggi dan mengemas kini pangkalan data (berdasarkan data yang dihantar oleh individu) berkenaan kemungkinan peletusan kluster baru dan lokasi yang mungkin terbabit.

Siapa miliki akses data MySejahtera

Aplikasi SELangkah ini dibangunkan dengan begitu mapan sehinggakan jejak kontak rapat hanya memerlukan tenaga kerja yang minimum dan membenarkan pengecaman individu yang terdedah dengan pantas supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan pada kadar segera.

Kesemua data ini disimpan di Malaysia dan terjaga rapi. Hanya data nama pengguna, nombor telefon dan lokasi pendafataran saja yang direkodkan.

Data-data ini dijamin keselamatannya dan hanya boleh diakses oleh pegawai kesihatan awam dan ejen Pasukan Petugas Khas Selangor Untuk Covid-19 (STFC). Pengguna juga boleh menarik balik data tersebut sekiranya perlu.

SELangkah telah menerima sambutan yang memberansangkan oleh golongan peniaga. Mereka memuat naik kod QR SELangkah di premis perniagaan masing-masing. Pasukan SELangkah pula sentiasa bersedia untuk membantu mereka.

Bukan itu saja, SELangkah juga memanjangkan fungsi kod QR kepada pengguna yang berada di rumah supaya jejak kontak dapat dilaksanakan terutamanya pada musim perayaan.

MySejahtera pula merupakan pangkalan data yang dibangunkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pernah dilihat sebagai saingan kepada SELangkah.

Dalam usahanya untuk melaksanakan jejak kontak rapat, sistem MySejahtera tidak bergerak secara automatik sepenuhnya bahkan ia masih memerlukan penaikan taraf untuk menandingi SELangkah.

Sehingga hari ini, lokasi penyimpanan data MySejahtera masih tidak dapat dikenal pasti. Bukan itu saja, pihak yang mempunyai akses terhadap data MySejahtera juga masih menjadi satu misteri.

Perkara ini tidak boleh dipandang enteng. Terdapat dakwaan berlaku penyalahgunaan data dengan penggunaan aplikasi MySejahtera. Selain itu, kita juga risau sekiranya data-data ini dijual kepada pihak ketiga dengan tujuan keuntungan.

Bagaimanapun sehingga hari ini kerajaan Malaysia masih nampaknya menangani isu kebocoran data ini secara sambil lewa.

Amaran awal untuk bersedia

Memandangkan terdapat dua aplikasi yang wujud - dengan salah satu dilihat sebagai lebih baik berbanding yang lagi satu - amat malang apabila kedua-duanya tidak diintegrasi untuk melahirkan potensi sebenar.

Sebaliknya pada 3 Ogos 2020, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaacob mengumumkan di kaca televisyen nasional bahawa setiap premis perniagaan wajib mempunyai kod QR MySejahtera.

Walaupun setelah beberapa lama diumumkan juga bahawa mana-mana aplikasi untuk jejak kontak rapat berasaskan QR boleh digunakan, nasi sudah menjadi bubur. Ramai pengguna yang pada awalnya selesa dengan SELangkah diarahkan untuk beralih ke MySejahtera.

Malang sekali apabila terdapat banyak pihak yang disaman penguatkuasa kerana tidak menggunakan MySejahtera. Arahan MKN itu - yang jelas sengaja dirancang untuk meminggirkan SELangkah - menyusahkan ramai orang.

Sementara itu pengesanan aktif oleh SELangkah memudahkan STFC untuk memanfaatkan data yang ada bagi menyasarkan dan memberi amaran berkenaan lokasi-lokasi berbahaya supaya rakyat lebih bersedia untuk memerangi wabak ini secara bersama.

Dua minggu selepas pengumuman Ismail Sabri, ramai terpaksa menggunakan aplikasi MySejahtera kerana takut disaman kalau melakukan sebaliknya.

Situasi ini menyebabkan usaha memerangi Covid-19 terbantut kerana STFC terpaksa bekerja keras untuk memulihkan epidemik di Selangor tanpa sebarang bantuan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ataupun kerajaan Malaysia.

Kerajaan Selangor bergantung sepenuhnya pada data luas SELangkah. Walaupun terdapat aral yang melintang, kerajaan negeri kekal efisien bagi mengawal situasi di Selangor dengan baik semasa gelombang kedua.

Untuk rakaman sejarah, seperti yang ditunjukkan oleh graf yang disertakan ini, SELangkah secara aktif digunakan di Selangor pada minggu ketiga Mei 2020 hingga pertengahan Ogos 2020. Kami berjaya mengekalkan kes positif (garis merah) pada paras yang rendah, bukan sifar (O), tetapi rendah.

Dengan perkongsian data, STFC berjaya mengenal pasti (tracing) dan mencari (finding) daerah-daerah yang berisiko tinggi (high risk districts) dengan segera melakukan TTIS (test, trace, isolate & support) semasa dalam tahap isolasi.

Namun, usia kejayaan SELangkah tidak panjang kerana pada 18 Ogos dan kemudian 2 Sept, MySejahtera wajib digunakan oleh semua pihak, sekali gus menamatkan segala perkongsian data dengan kerajaan Selangor. Amat malang!

Keengganan Pusat untuk berkongsi data dengan kerajaan Selangor menyebabkan kerja kami menjadi sukar, seperti teraba-raba di dalam bilik yang gelap atau bertinju dengan mata kami ditutup.

Tunggakan kes berbulan-bulan

Kebergantungan kerajaan Selangor kepada data yang sudah lapuk ini menyukarkan sebarang usaha untuk merangka strategi pengawalan wabak mengikut situasi semasa.

Laporan STFC adalah benar mengikut bekalan data. Namun pendirian ini tidak boleh disamakan dengan situasi baru-baru ini apabila pasukan STFC menyiasat dan mengenal pasti punca utama di sebalik lonjakan mengejut kes di Selangor.

Kes-kes ini merupakan kes pada 2020 dan juga Jan 2021 yang baru saja dilaporkan, dan tidak mewakili nombor semasa sepertimana yang diakui oleh Ketua Pengarah Kesihatan sendiri.

Tunggakan ini adalah disebabkan kelemahan sistem jejak kontak rapat MySejahtera yang mengambil masa terlalu lama untuk mewajibkan pegawai kesihatan awam melaksanakan jejak kontak sehingga mengakibatkan tunggakan kes yang berbulan-bulan lamanya.

Ramai professional kesihatan dan staf kesihatan awam mengakui lebih cenderung untuk menggunakan aplikasi SELangkah untuk membantu sistem pengawalan wabak sedia ada, tetapi mereka tidak mempunyai pilihan selain menggunakan data mentah sebagai rujukan kepada usaha jejak kontak.

Apa yang berlaku kepada data Selangor pada beberapa hari lepas ialah situasi tepat bagi menggambarkan pengalaman hitam STFC semasa 3 Ogos 2020.

Data-data yang diperoleh sudah pun bercampur aduk sehingga menyebabkan ia tidak lagi berguna untuk mencegah penularan wabak.

Kami menyeru kerajaan Malaysia, KKM dan juga Ketua Pengarah Kesihatan untuk berlaku jujur dalam isu ini. Laporan mestilah dilaporkan dengan telus, bukan sahaja mengenai status tunggakan kes yang lepas dan semasa, bahkan rakyat juga berhak dimaklumkan berkenaan status semasa kes di Malaysia.

Kerajaan Malaysia boleh mengambil contoh pengumuman kes harian mengikut sistem laporan di UK yang mampu melaporkan situasi Covid-19 di setiap wilayah, majlis bandar raya dan daerah di negara itu dengan tepat.

Hal ini hanya boleh direalisasikan dengan ukuran insiden kes pada setiap 100,000 bilangan populasi, bukan berasaskan bilangan yang mutlak atau kumulatif (absolute or cumulative numbers).

Dengan ukuran yang diguna pakai secara benchmark (penanda aras) dalam disiplin epidemiologi ini, anda akan dapati Selangor didahului oleh Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah.

Pun begitu ketika ranking yang sama diperhatikan dalam ukuran kadar kematian per 100,000 penduduk. Sementara kami amat insaf menangani cabaran melandaikan keluk epidemik di Selangor, izinkan saya menegur supaya anda berpada-padalah untuk membuat kesimpulan atau kecaman terhadap prestasi di Selangor.

STFC kini mempunyai sebuah entiti untuk operasi dan implementasi yang dinamakan STFO (Selangor Task Force Operation) yang terlibat langsung dalam pengopersian program dan kerja seperti saringan komuniti bersasar.

STFO dibantu olih badan-badan NGO dan buat masa kini ini oleh Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret). STFC menggunakan sumber dan kepakaran serta pengalaman yang ada pada Imaret dengan tidak membayar imbuhan yang sepatutnya, bahkan sebahagian kerja dilakukan secara pro bono atau sukarela.

Pun demikian, kami selaku Task Force Covid-19 di Selangor akan terus melipatkan-gandakan usaha-usaha kami untuk membendung perebakan gelombang ketiga di negeri Selangor khsususnya, dan bersedia berkongsi pengalaman dan sedikit kepakaran yang ada pada STFC untuk kepimpinan di negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia ini.


DR DZULKEFLY AHMAD ialah ahli parlimen Kuala Selangor merangkap pengerusi STFC serta bekas menteri kesihatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS