Lelaki lepas tembakan amaran senapang angin ditahan polis
Polis menahan seorang lelaki yang melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang angin kerana marahkan jirannya yang kononnya mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek, dalam kejadian di Sungai Semambu, di Bukit Mertajam semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata dalam kejadian 1 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun tersebut telah ke rumah jirannya dalam keadaan marah.
"Menurut lelaki itu (mangsa), dia terdengar bunyi pintu rumahnya diketuk dan tingkap rumah telah dipecahkan sebelum mendapati jirannya berada di hadapan pintu sebelum terus bergegas membuka pintu (rumah) untuk mengetahui apa yang berlaku.
"Suspek telah mengacukan senapang angin ke arah mangsa dan memaksanya mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan isterinya sebelum dia bertindak melepaskan tembakan amaran kerana berang selepas lelaki itu menafikannya," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Selepas melepaskan dua das tembakan amaran, suspek mengugut akan membunuh lelaki itu sekiranya mangsa yang berusia 30 tahun berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Polis menahan suspek beberapa jam lepas kejadian di rumahnya iaitu selang beberapa buah rumah dari mangsa serta merampas senapang angin berkenaan.
- Bernama

