Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua lagi individu didakwa sekutu Jho Low dihadapkan saman cukai

Dua lagi individu yang didakwa sebagai sekutu Jho Low dihadapkan dengan saman atas dakwaan tidak membayar cukai.

Kerajaan memfailkan saman kepada Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, masing-masing pada 4 Disember 2020 dan 8 Januari lalu.

Plaintif menuntut RM6.7 juta daripada Tang dan RM2.4 juta daripada Loo.

Semalam, individu yang didakwa sebagai sekutu Jho Low, Tan Kim Loong turut dihadapkan dengan saman atas dakwaan tunggakan cukai berjumlah RM67.9 juta.

Pada masa ini, polis masih dalam usaha menjejak Jho Low, Tan, Tang dan Loo untuk membantu siasatan terhadap skandal 1MDB.

Nama Tang dan Loo disebut beberapa kali ketika perbicaraan kes rasuah dana 1MDB RM2.28 bilion terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurut salinan pernyataan tuntutan yang dilihat Malaysiakini, nombor kad pengenalan Tang dan Loo dalam dokumen itu sama dengan dua individu yang diburu pihak berkuasa.

Kerajaan menuntut Tang membayar cukai yang didakwa tidak dibayar bagi sembilan tahun taksiran bermula 2009 hingga 2017. Saman terhadap Loo pula berkenaan dakwaan tunggakan bagi lima tahun taksiran, iaitu 2012, 2014, 2016, 2017 dan 2018.

Menurut samannya, kerajaan mendakwa notis taksiran telah dihantar kepada Tang secara Akuan Terima Berdaftar (AR) pada 6 Oktober lalu, di alamat terakhirnya yang diketahui di Taman Sri Endah, Kuala Lumpur.

"Notis-notis taksiran (tambahan) tersebut telah diterima dan ditandatangani melalui pengembalian semula kad kuning Akuan Terima Berdaftar," menurut pernyataan tuntutan itu.

Bagi Loo pula, kerajaan mendakwa notis taksiran telah dihantar secara pos berdaftar pada 18 November tahun lalu di alamat terakhirnya yang diketahui di Jalan Seri Beringin 2, Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Kerajaan mendakwa sehingga kini, Tang dan Loo masing-masing tidak membayar tunggakan cukai yang masing-masing berjumlah RM6,779,852.36 dan RM2,496,133.05.

Jumlah itu termasuk denda bagi setiap tahun taksiran kerana gagal membuat bayaran.

Selain itu, kerajaan juga menuntut lima peratus faedah bagi jumlah tunggakan, dari tahun penghakiman sehingga tarikh pembayaran, kos dan sebarang relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Menurut senarai kausa di portal e-kehakiman, pengurusan kes bagi saman terhadap Tang dibuat pada jam sembilan pagi ini di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengurusan kes bagi saman Loo pula dijadual pada 18 Februari ini, juga di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

[Baca berita asal]

ADS