Sime Darby: Siasatan dapati tiada isu buruh paksa
Sime Darby Plantation Berhad (SDP) berkata syarikat itu telah melakukan penilaian dalaman terhadap operasinya di Malaysia dan mendapati tidak berlaku masalah sistematik berhubung dakwaan amalan buruh paksa.
Merujuk laporan Reuters bahawa pembeli minyak sawit utama berhasrat menyekat produk syarikat itu dan FGV Holdings dari rangkaian global, SDP berkata pelanggannya telah menyatakan sokongan terhadap syarikat itu.
"Sebilangan besar pelanggan kami menyatakan komitmen untuk mendapatkan sumber yang lestari dan dengan demikian menghargai dan memahami usaha kami untuk memastikan operasi kami dikendalikan dengan baik, lestari dan bertanggungjawab.
"Kami telah melakukan penilaian dalaman terhadap seluruh operasi kami di Malaysia."
"Penemuan kami tidak mendedahkan masalah sistemik dalam operasi kami," kata Ketua Pegawai Komunikasi SDP Eliza Mohamed dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Reuters memetik sumber melaporkan pembeli utama minyak sawit baru-baru ini menimbang untuk menyekat produk keluaran FGV Holdings dan SDP dari rangkaian bekalan global.
Tindakan itu selepas Amerika Syarikat (AS) melarang import daripada dua pengeluar terbesar itu atas dakwaan amalan buruh paksa.
Arahan terhadap syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu dibuat susulan siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP).

