Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno pula gesa perkembangan kes Adib diumum segera

Desakan demi desakan dibuat agar kerajaan segera mengumumkan perkembangan siasatan dan tindakan lanjut yang akan diambil berhubung kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketuan Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan hari ini berkata pengumuman itu penting agar pihak keluarga arwah tidak berterusan dibiarkan dalam 'kegelapan'.

"Lebih lama kes ini dibiarkan tertangguh, lebih kuat persepsi yang timbul seolah-olah keadilan semakin dinafikan buat keluarga arwah Adib sebagaimana prinsip undang-undang 'justice delayed is justice denied' (keadilan yang ditangguh adalah keadilan yang dinafikan)," katanya kepada Malaysiakini.

Asyraf berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini siasatan kes kematian Muhammad Adib.

Disember tahun lalu, kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi keadilan buat keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan berkata setakat ini pihak Jabatan Peguam Negara masih menunggu hasil siasatan polis yang difahamkan kini di peringkat akhir, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin juga berkata siasatan polis kini di peringkat akhir dan hasil siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, difahamkan sehingga kini masih tiada tindakan lanjut dibuat oleh pihak kerajaan.

Mengakui perkara itu, Asyraf Wajdi menyorot bahawa Mahkamah Koroner juga sebelum ini telah membuat keputusan pada 26 September 2019 bahawa kematian Muhammad Adib berpunca dari perbuatan jenayah akibat dipukul.

Malangnya, kata Asyraf sehingga kini masih tiada apa-apa tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

"Sehingga hari ini sudah setahun empat bulan lebih Mahkamah Koroner putuskan bahawa kematian Adib berpunca dari perbuatan jenayah akibat dipukul.

"Malah janji kerajaan sejak Disember lalu untuk menyegerakan siasatan yang dikatakan sudah sampai ke peringkat akhir masih belum dibuat sebarang pengumuman rasmi akan hasilnya sehingga kini," katanya.

Sementara itu, Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii ketika dihubungi turut membuat desakan yang sama.

"Minta kerajaan percepatkan Kes Arwah Adib, jangan biarkan ianya hilang tanpa berita, maruah seorang penjawat awam perlu dibela sebaiknya.

"Kita tak faham kenapa lambat sangat kes ini hendak diselesaikan, malah sistem perundangan kita seumpama gagal mencari jalan penyelesaian terbaik untuk pihak ibu bapa Adib menuntut keadilan," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini media melaporkan rayuan bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid akan didengar pada 28 Mei depan.

Rayuan tersebut berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan bekas peguam negara, Tommy Thomas, untuk mengenepikan permohonan ex parte Mohamad Kassim terkait dakwaan menghina mahkamah.

Mohamad Kassim mendakwa Thomas telah menghina mahkamah apabila apabila memfailkan afidavit dari Pejabat Peguam Negara pada 3 April 2019.

Afidavit itu dilaporkan mendakwa kematian Muhammad Adib bukan akibat kecederaan yang dialaminya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas di Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Ia berikutan kecederaan parah yang dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Lihat Komen
ADS