Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ebit Lew taja RM40,000 bantu Nurul Asma sambung ACCA
Diterbitkan:  Feb 11, 2021 9:35 PM
Dikemaskini: Feb 12, 2021 12:59 AM

Kisah bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang tidak dapat menyambung pengajian di peringkat ijazah akibat kekangan kewangan mendapat perhatian pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Menurut Ebit, dia berhasrat menaja sepenuhnya pengajian Nurul Asma Alya Mohd Zainal, 21 dalam bidang perakuanan di peringkat Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) selepas terbaca kisah mengenainya. 

Ebit juga berkesempatan mengunjungi pelajar berkenaan dan keluarganya di Tumpat, Kelantan bagi memaklumkan perkara itu.

"Pagi ini ke Tumpat. Saya sampai dekat pintu terus adik Nurul Asma Alya dan maknya menangis kuat. Ya Allah doa saya dikabulkan.

"Saya akan taja penuh RM40,000 lebih untuk dua tahun setengah termasuk penginapan," katanya menerusi Facebook.

Ebit berkata urusan kemasukan Nurul Asma ke universiti juga sudah dibincang dengan pihak universiti dan pelajar itu bakal melanjutkan pengajian pada April  ini.

"Kami hadiahkan juga laptop, router serta wifi. Wifi oleh Digi free (percuma) setahun," katanya.

Sebelum ini media melaporkan bahawa Nurul Asma terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pengajian di peringkat ACCA di luar negara akibat kekangan kewangan.

Malah lebih menyedihkan, Nurul Asma yang juga bekas pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) dengan kelulusan 3.95 CGPA turut mengalami masalah ketiadaan bekalan beras di rumahnya.

Nurul Asma merupakan pelajar cemerlang selepas mencatatkan keputusan 7A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menyambung peringkat diploma di KPM.

Menurut Ebit, pihaknya juga memberikan sumbangan wang tunai kepada ibu pelajar berkenaan bagi membantu meringankan beban keluarga mereka.

"Saya jadi sedih sebab keluarga ini asyik menangis cakap terima kasih. 

"Semoga adik esok-esok dapat bahagiakan mak dan bantu ramai orang di luar sana ya, " katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarga berkenaan.

Lihat Komen
ADS