Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary, kerajaan tidak boleh membiarkan apa-apa aplikasi yang menjalankan kegiatan menyalahi hukum agama.

Mengulas berkenaan aplikasi Sugarbook, Marzuk sekali lagi mengatakan kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas kepada pihak yang terlibat.

"Ini sangat mendukacitakan kita dan saya telah sebut kerajaan akan mengenakan tindakan yang lebih keras dan tegas kepada yang terlibat, termasuk aplikasi itu yang sepatutnya dihilangkan dan dihalang daripada digunakan di negara kita.

"Kita tak boleh mendorong rakyat untuk melakukan perkara yang tak betul, melanggar undang-undang dan hukum ini dengan adanya aplikasi tersebut," katanya kepada pemberita di selepas menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19 kepada pemandu teksi di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Anggota parlimen Pengkalan Chepa itu diminta mengulas mengenai aplikasi tersebut yang didakwa turut melibatkan golongan pelajar universiti dalam menawarkan perkhidmatan berbentuk kemaksiatan.

Terdahulu media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.

Perkara itu sekali gus mendatangkan reaksi pelbagai pihak yang mahu kerajaan menyekat menggunaan platform berbentuk aplikasi media sosial itu.

Marzuk berkata, pihak berkuasa masih dalam proses siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Ini prosedur kerajaan. Tindakan memerlukan kertas (siasatan) yang betul-betul membuktikannya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS