Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan pemandu cuba rempuh sekatan jalan
Diterbitkan:  Feb 15, 2021 8:25 AM
Dikemaskini: 12:25 AM

Cubaan seorang pemandu di bawah pengaruh dadah melarikan diri daripada pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Desa Jaya di Kuala Lumpur, gagal selepas keretanya merempuh tembok penghadang jalan sebelum ditahan oleh anggota polis, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam kelmarin, suspek lelaki tempatan berusia 45 tahun itu diarah oleh anggota bertugas di SJR supaya menghentikan kenderaan di tepi jalan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata suspek sebaliknya memecut kenderaannya sebelum anggota polis bertindak mengejarnya sehingga ke kawasan perumahan Perdana Puri iaitu jarak kira-kira 300 meter dari lokasi SJR.

“Suspek, bagaimanapun, berpatah balik dan memecut laju ke arah khemah SJR dan hampir merempuh seorang anggota polis yang bertugas di lokasi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek kemudian memberhentikan keretanya secara mengejut sebelum mengundur dalam keadaan laju sehingga melanggar batu pembahagi jalan berhampiran khemah SJR.

Arifai berkata akibat pelanggaran itu, kenderaan suspek tidak boleh bergerak dan dia ditahan polis manakala semakan mendapati dia mempunyai 11 rekod jenayah berkaitan kes dadah dan satu rekod jenayah mencuri.

"Ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif syabu dan suspek direman tujuh hari bermula hari ini,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS