Program untuk bekas pesakit Covid-19 harus diperluas di Malaysia memandangkan mereka yang tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan kemudiannya didapati mengalami komplikasi selepas sembuh, kata seorang pakar yang merawat pesakit Covid-19.

Dr Lee Heng Gee, yang mengetuai unit penyakit berjangkit di Hospital Queen Elizabeth, berkata beberapa pesakit yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dimasukkan semula ke hospital akibat komplikasi akut.

Hospital Queen Elizabeth (HQE) adalah hospital Covid-19 terbesar di Sabah.

"Kita perlu melihat sindrom pasca-Covid dan kita memerlukan program untuk pesakit-pesakit ini yang harus melibatkan pemulihan, psikiatri, dan dari perspektif kita, kita juga perlu melibatkan doktor perubatan keluarga dalam membangunkan program rawatan pasca-Covid ini , "katanya.

Berkongsi kajian kes melibatkan pesakit di HQE, katanya, seorang lelaki berusia 36 tahun sembuh selepas dimasukkan ke pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) selama 10 hari, namun mengalami sakit dada secara tiba-tiba ketika memandu dua minggu kemudian.

Ujian yang dilakukan mendapati dia mengalami parut di dalam paru-paru dan miokarditis akut (radang otot jantung). 

Dia dirawat dengan ubat dan sekarang kembali sihat, kata Lee.

Lee berkata demikian ketika siri webinar mengenai Covid-19 oleh Malaysian Society of Infection Control and Infectious Diseases dan Institut Penyelidikan Klinikal, Institut Kesihatan Negara.

Lee berkata pelbagai kajian di seluruh dunia melaporkan keadaan seperti itu di kalangan bekas pesakit Covid-19.

Kajian di Jerman terhadap 100 pesakit yang pulih dari Covid-19 mendapati 78 peratus daripadanya mendapat masalah jantung manakala 60 peratus mengalami keradangan otot jantung yang berterusan.

Pesakit lain melibatkan atlet muda yang dijangkiti Covid-19 - yang mempunyai gejala ringan atau tidak mempunyai gejala - dan didapati lima daripada 26 orang menghidap radang otot jantung, katanya

"Mesej di sini adalah, walaupun pesakit mempunyai gejala ringan atau tidak bergejala, mereka masih boleh mengalami radang otot jantung atau masalah ground glass opacity (GGO) di paru-paru," katanya.

GGO merujuk pada pola yang terdapat pada paru-paru semasa imbasan dilakukan yang menunjukkan pelbagai komplikasi termasuk jangkitan, cairan berlebihan atau pendarahan di dalam paru-paru.

[Baca berita penuh]