Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata sepanjang kepimpinannya, tidak pernah berlaku sebarang perbalahan dalam membuat keputusan.

Katanya, untuk membuat sebarang keputusan yang besar, beliau mengamalkan sistem konsensus seperti yang telah menjadi amalan dalam kerajaan sejak dahulu lagi.

" Saya tidak pernah meminta sesiapa mengangkat tangan sebagai menyokong dalam mesyuarat. Semua telah setuju barulah keputusan dicapai, jika ada yang tidak setuju kita tidak akan buat keputusan, kita tangguh dulu keputusan sehingga semuanya bersetuju, barulah keputusan yang dicapai itu kukuh," kata beliau.

Abdullah yang berucap merasmikan Malam Mesra Pulau Mutiara anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) di Pulau Pinang juga menegaskan, kesediaannya menghadapi apa jua cabaran serta rintangan dan tidak akan berputus asa dalam meneruskan perjuangannya memajukan negara dan rakyat.

"Sebagai seorang pemimpin, saya tidak mempunyai sebarang pilihan untuk berhadapan dengan cabaran serta rintangan dan akan terus mengharungi sehingga berjaya.

"Kita tidak mempunyai opsyen, gagal bukanlah pilihan, maka kita kena berjaya juga untuk menghadapi sebarang cabaran dan rintangan. Pemimpin dulu juga ada cabaran dan rintangan dan mereka juga mengharungi cabaran... yang penting cabaran dan rintangan harus diatasi," kata Perdana Menteri.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, disebabkan mandat yang besar diberi oleh rakyat untuk memimpin negara, maka sudah tentulah cabaran yang diterimanya juga besar, malah rakyat juga menaruh harapan yang besar terhadapnya.

Abdullah menambah, tumpuannya sekarang ialah untuk memastikan misi nasional yang menjadi teras pembangunan negara tercapai dalam tempoh 15 tahun lagi.

"Sebab itulah saya mementingkan pembangunan modal insan kerana mereka adalah pemimpin yang akan datang, anak-anak harus diberi ilmu," kata beliau lagi.

Abdullah berkata kerajaan juga cuba meringankan beban rakyat menanggung kos pendidikan dengan memansuhkan semua yuran peperiksaan sekolah kerana bebanan kos sara hidup sememangnya telah meningkat ekoran kenaikan harga minyak.

Katanya kerajaan juga sedang berusaha untuk memberi peluang sumber pendapatan baru kepada rakyat dan sebab itulah kerajaan mempertingkatkan usaha pembangunan luar bandar serta industri asas tani.

Pada majlis itu, Abdullah mengumumkan peruntukan sebanyak RM120,000 kepada Mubarak bagi pembelian sebuah bangunan yang akan dijadikan Rumah Mubarak.