Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid beri jaminan Umno ada hala tuju, strategi
Diterbitkan:  Feb 16, 2021 11:48 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Tidak risau dengan cakap-cakap yang timbul beberapa bulan lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan parti itu memiliki hala tuju yang jelas.

"Ada yang resah dan bertanya Umno seolah-olah tiada hala tuju. Apa yang presiden Umno lakukan? Ke mana Umno mahu dikemudi? Saya faham keresahan ini," katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Zahid berkata, hala tuju utama Umno buat buat masa ini adalah memperkasakan BN bagi menghadapi PRU ke-15 dan mengukukuhkan hubungan dengan "pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas" untuk bekerjasama dengan gabungan itu.

Dengan hala tuju itu, dia berkata Umno memiliki strategi sendiri.

“Cumanya ia bukan lagi strategi politik sekiranya semua pihak terutama lawan tahu apa yang Umno sedang dan akan lakukan.

“Strategi Umno tidak boleh statik, rigid, kaku dan kejang. Strategi politik tidak boleh skema, tapi perlu bijaksana,” katanya lagi.

Antara yang pernah membangkitkan soal hala tuju Umno adalah timbalan presidennya, Mohamad Hasan pada Oktober lalu, susulan 'dipinggirkan' selepas PRN Sabah.

Tahun ini pula, timbul pula soal kerjasama dengan PKR terutama dengan presidennya Anwar Ibrahim, di tengah-tengah pergeseran antara Umno dan Bersatu.

Perkara itu turut dibangkitkan bekas Setiausaha Agung BN, Annuar Musa yang antara lain mendakwa Zahid membuat perakuan bertulis untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Dalam pada itu, Zahid turut menyatakan kehairanannya dengan pihak yang disifatkannya sebagai "anti-Umno" yang mendakwa parti itu tiada hala tuju.

"(Mereka) seolah-olah paling kecewa dan hari-hari marah kerana Umno kononnya tiada hala tuju. Hari-hari membangkitkan perkara itu di media sosial.

"Apakah muslihatnya saya fikir saudara saudari ada jawapannya,” katanya lagi.

Umno sudah beberapa kali memberi amaran untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hanya memiliki majoriti tipis.

Seorang pemimpin Bersatu pula baru-baru ini menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyiasat dakwaan bahawa Umno mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit yang menurutnya melanggar Akta Pertubuhan.

Lihat Komen
ADS