Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ROS harus siasat akaun bank rahsia Umno - pemimpin Bersatu

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan digesa siasat dakwaan yang dibuat di mahkamah bahawa Umno mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit yang melanggar Akta Pertubuhan.

"Akaun bank yang tidak diisytiharkan (dan sumbangan politik yang tidak diaudit), jika terbukti berkaitan langsung dengan parti dan kepemimpinan mereka, adalah pelanggaran serius di bawah peraturan ROS.

"Semestinya (perlu siasat). Demi keadilan dan ketelusan," kata anggota Majlis Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman kepada Malaysiakini.

Dakwaan berhubung akaun bank rahsia itu dibuat oleh pihak pendakwaan dalam saman sita pelucutan harta berkaitan 1MDB oleh kerajaan terhadap Obyu Holdings.

Umno telah mendakwa bahawa wang yang ingin dirampas oleh kerajaan adalah milik parti itu.

Dalam keterangan bertulis yang membantah dakwaan itu, pihak pendakwa berkata akaun tersebut, yang tidak diaudit, digunakan untuk menerima sumbangan politik.

"Wang tunai yang tidak dihitung, tidak diverifikasi dan tidak diaudit juga menyalahi pelbagai peruntukan dalam Akta Pertubuhan, yang boleh mengakibatkan Umno dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan,” kata pihak pendakwaan.

Mengulas perkara ini, Faiz berkata, pendedahan itu merupakan pengkhianatan jelas terhadap perlembagaan Umno dan anggotanya sendiri.

"Hakikat bahawa akaun itu ada sejak tahun 1988 juga akan memburukkan bekas presiden Umno, yang, sudah tentu mengetahui kewujudannya atau mendapat manfaat dari akaun itu," tambahnya.

Dr Mahathir Mohamad adalah presiden Umno pada tahun 1988. Dia juga bekas pengerusi Bersatu.

Mahathir pada tahun 2015 mengatakan bahawa semasa menjadi presiden Umno, sumbangan politik dimasukkan ke dalam akaun parti yang mempunyai tiga orang pemegang amanah termasuk dirinya.

"Pemegang amanah akan mempunyai akaun. Semua sumbangan, terutama untuk pilihan raya, dimasukkan ke dalam akaun ini ...

"Pemegang amanah juga dinamakan sebagai pemegang ekuiti dan pemilik harta bagi pihak Umno," katanya.

Umno sebelum ini dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1988 - pada tahun yang sama akaun tersebut dikatakan dibuka - setelah mahkamah mendapati parti itu telah melanggar Akta Pertubuhan kerana terdapat beberapa cawangan yang tidak berdaftar.

Lihat Komen
ADS