Menteri Wilayah Persekutuan, yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, berkata DAP tidak perlu menjatuhkan hukuman memandangkan perkara itu masih dalam siasatan polis.

"Tak perlu DAP nak menghukum sebelum siasatan - kerana ini cara DAP.

"Biar polis teruskan siasatan tanpa takut atau pilih kasih," ciapnya di Twitter.

Annuar berkata demikian ketika membalas ciapan akaun rasmi DAP yang memaparkan gambar meme membandingkan situasi Annuar dengan warga yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.

Dia sekali lagi didakwa melanggar SOP selepas gambarnya makan bersama enam individu lain disebarkan di media sosial. Ketika itu, dia mengunjungi program pertanian bandar di Kuala Lumpur.

Pada masa ini, hanya dua individu dibenarkan makan di satu meja.

Terdahulu, pengajur program Kelab Pencinta Alam Kolam Takungan Banjir Sungai Midah telah memohon maaf dan menjelaskan Annuar hanya berada di meja tersebut sekejap saja.

Dalam ciapannya, Annuar berharap siasatan polis akan menjelaskan kejadian sebenar.

"Dapatkan fakta...Sayakah menganjurkan jamuan? Di kedai, restoran atau ladang? SOP mana yang dilanggar? Polis wajib buat keputusan.

"Bukan macam kes Lim Guan Eng," katanya lagi merujuk kes rasuah setiausaha agung DAP itu yang sebelum ini digugurkan.

Sebelum ini, Annuar juga dihujani kritikan ekoran gambarnya bersenam di luar bersama dua lelaki lain, di saat peraturan hanya membenarkan tidak lebih dua orang daripada isi rumah sama untuk beriadah bersama.

Ketika itu, dia berkata terserempak dengan dua individu itu secara kebetulan.