story image
mk-logo
Berita
Gambar menteri langgar SOP: Penganjur akui silap, mohon maaf

Penganjur program pertanian bandar yang dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa memohon maaf kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kelab Pencinta Alam Kolam Takungan Banjir Sungai Midah memohon maaf kepada Annuar dan orang ramai kerana gagal mematuhi SOP ketika menjemput menteri melawat tapak projek komuniti mereka.

"Saya bagi pihak masyarakat di sini meminta minta maaf kepada Tan Sri (Annuar) dan rakyat Malaysia. Kita akui itu kelemahan kita.

"Bila Tan Sri datang kita jemput dia minum di pondok kebun pertanian dalam bandar kita, itu pun sekejap saja.

"Tan Sri dah ingatkan (gambar tak patuh SOP) nanti akan tular, sebab itu dia cepat-cepat berlalu," kata pengerusinya, Zainuddin Amran ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Annuar sekali lagi didakwa melanggar SOP PKP selepas gambarnya bersama enam yang lain duduk di dua meja jamuan tersebar di media sosial.

Foto itu memaparkan sepanduk menyambut Annuar ke majlis program pertanian bandar bertarikh semalam.

Berdasarkan SOP semasa, makan bersama dibenarkan, tetapi terhad kepada dua orang bagi setiap meja serta dengan jarak satu meter.

Memberi penjelasan berkenaan gambar itu, Annuar berkata dia cuma duduk sebentar di situ.

"Tadi semasa di ladang, saya duduk sekejap dan pindah kerana penganjur tak ikut SOP.

"Bukan tak sudi atau tak hargai tuan rumah, tetapi perlu ikut SOP. Saya pohon maaf, diharap tiada yang tersinggung," katanya di Facebook.

Dalam pada itu Zainuddin berkata pihaknya menjemput Annuar untuk melihat kolam takungan banjir dan kebun bandar.

"Program sekejap saja Tan Sri singgah, SOP lain kami patuhi," katanya, sambil memaklumkan pihak polis telah menghubunginya untuk mengambil keterangan berhubung kejadian itu.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS