Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada sebab lagi tangguh Parlimen lepas semua MP terima vaksin'
Diterbitkan:  Feb 17, 2021 12:15 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Tiada lagi sebab untuk Dewan Rakyat tidak bersidang selepas ahli Parlimen menerima vaksin nanti, menurut Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.

Chan berkata demikian susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, bahawa semua ahli Parlimen dan Adun termasuk dalam kumpulan penerima fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang akan bermula 26 Feb ini.

“Saya dengan berhati-hati menyambut baik pengumuman perdana menteri pada 16 Februari bahawa wakil rakyat daripada semua pihak politik layak menerima vaksin Covid-19 di bawah fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Apabila tamatnya fasa pertama program imunisasi berkenaan, tiada lagi sebab untuk menyekat atau menggantung sidang Parlimen. Fasa pertama akan berjalan dari 26 Februari hingga April.

“Dengan itu, Parlimen sepatutnya bersidang semula pada Mei, sejurus tamatnya fasa 1 (pemberian vaksin fasa pertama).

“Memandangkan sekarang semua ahli Parlimen akan menerima vaksin dan menjadi imun terhadap Covid-19, jadi sudah tidak ada lagi sebab untuk menutup Parlimen," katanya dalam kenyataan.

Chan Foong Hin

Muhyiddin membuat pengumuman itu dalam sidang media selepas pelancaran buku panduan program imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya.

Menurutnya, ahli Parlimen dan Adun dimasukkan dalam penerima awal selepas mengambil kira keperluan mereka untuk berjumpa masyarakat dan ia akan membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan selamat.

Chan berkata, dia gembira apabila Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 mengiktiraf kerja wakil rakyat yang kerap berjumpa orang ramai dan bergerak di lapangan dn pemberian vaksin akan menyebabkan mereka berasa lebih selamat ketika menjalankan tugas.

Dia turut mencadangkan agar pegawai Parlimen dan pembantu wakil rakyat turut diberi vaksin di peringkat awal, bagi membolehkan Parlimen bersidang tanpa kebimbangan.

Katanya lagi, banyak agenda yang tertangguh seperti pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) serta pembentangan belanjawan tambahan 2021 bagi menangani peningkatan kes Covid-19.

Wakil rakyat, menurut Chan, membawa suara rakyat kepada kerajaan berhubung perkara yang memberi kesan kepada mereka, dan inilah yang memastikan demokrasi terus hidup.

“Darurat tidak harus meletakkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang dalam bahaya. Perkara penting terhadap asas negara mesti diteruskan, pemeriksaaan terhadap eksekutif oleh badan perundangan mesti diteruskan.

“Rakyat marah bila ahli parlimen masih menerima gaji bulanan meskipun tidak menghadiri sebarang sidang parlimen.

“Menggantung sidang parlimen tidak akan memberikan kebaikan kepada negara[...],” katanya lagi.

Parlimen dan DUN digantung dengan pengisytiharan darurat oleh Muhyiddin 12 Jan lalu.

Pilihan raya juga - termasuk pilihan raya umum, negeri atau kecil - kata Muhyiddin tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat yang berkuat kuasa dari 11 Jan sehingga 1 Ogos 2021.

Muhyiddin berkata pengisytiharan darurat itu adalah bagi membendung pandemik Covid-19, tetapi sebahagian pihak menuduh Muhyiddin menggunakan darurat untuk mengekalkan kuasa setelah didakwa hilang majoriti di Dewan Rakyat. 

Lihat Komen
ADS