‘Iktiraf pati, jangan sekadar beri mereka vaksin’
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata Chiong Yoke Kong berkata, usaha kerajaan untuk memberi vaksin kepada pendatang asing tanpa izin (pati) di negara ini seharusnya sejajar dengan langkah untuk mengiktiraf mereka.
Dia berkata demikian susulan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang memberi jaminan pati tidak akan ditangkap jika mereka tampil untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Berikutan jaminan kerajaan untuk tidak menangkap pati, Chiong yang juga adalah timbalan ketua pemuda DAP berkata, kempen mendaftar dan mengiktiraf mereka adalah lebih meyakinkan dan mampu menyelesaikan isu warga asing tersebut secara menyeluruh.
“Jaminan Khairy itu mungkin tidak dapat meyakinkan semua pati dan majikan untuk terlibat dalam program vaksinasi ini.
“Ini kerana, kuasa untuk bertindak ke atas pati terletak di tangan Jabatan Imigresen dan pihak polis menerusi kementerian dalam negeri.
“Susulan itu, ada pekerja asing dan majikan mungkin bimbang bahawa kerajaan sekadar berkata-kata, tanpa tindakan yang seragam, ” kata Chiong dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sekiranya kerajaan tidak mengiktiraf golongan tersebut, amat sukar untuk meneliti sama ada wabak itu masih terus menular serta keberkesanan vaksin.
Dia menegaskan, sebarang bentuk pengiktirafan tidak harus dijadikan usaha untuk mengaut keuntungan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.






