Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Nyawa ahli politik lebih penting dari orang lain?'
Diterbitkan:  Feb 17, 2021 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Seorang wakil rakyat PKR mengkritik rancangan kerajaan kerana mengutamakan ahli parlimen dan Adun dalam pemberian vaksin Covid-19.

Selain menggambarkan alasan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai "mengarut", Gooi Hsiao Leung juga mengecam tindakan itu sebagai "tidak beretika, tidak senonoh dan sangat-sangat salah."

Dia mengatakan bahawa kerajaan harus berpegang teguh pada tiga fasa vaksinasi - Fasa 1 untuk barisan depan dan pekerja kesihatan perubatan yang bekerja di persekitaran berisiko tinggi, Fasa 2 untuk golongan yang rentan, orang tua berusia 65 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan, dan Fasa 3 untuk populasi dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.

"Walaupun dapat diterima bagi pegawai kanan kerajaan seperti perdana menteri, menteri kesihatan, ketua menteri dan bahkan ketua pembangkang parlimen untuk diberi keutamaan vaksinasi - untuk mencegah risiko gangguan besar dalam mentadbir negara ketika kita masih berdepan krisis kesihatan - tapi mengapa semua wakil rakyat tanpa mengira usia atau status kesihatan mereka diberi layanan istimewa?

"Jika itu adalah niat kerajaan untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap vaksin dan mengikuti protokol rasmi, maka tidakkah Agong, Raja dan Sultan-sultan patut diberi vaksin terlebih dahulu sebelum perdana menteri kita?

"Penjelasan perdana menteri bahawa wakil rakyat terpilih, kerana pekerjaan mereka sebagai ahli politik, sering harus bertemu dengan rakyat di peringkat akar umbi dan oleh itu berhak mendapat rawatan khas dan perlindungan vaksin terlebih dahulu, adalah mengarut," tambahnya.

Adun Bukit Tengah itu menyorot bahawa pekerja runcit dan pemandu bas, antara lain, juga bersemuka dengan orang ramai setiap hari tetapi harus menunggu giliran untuk diberi vaksin.

"Apakah perdana menteri mengatakan bahawa nyawa mereka tidak begitu penting berbanding ahli politik yang dapat memotong barisan untuk vaksinasi?

“Sebagai wakil rakyat, kita masih dapat memikul tanggungjawab harian seperti orang lain dengan mengikuti SOP dengan tegas. Jangan ingkar SOP.

"Keutamaan sekarang adalah untuk mendapatkan bekalan vaksin dan menyerahkan kepada doktor dan jururawat yang mempertaruhkan nyawa mereka," tambahnya.

Dengan memberi vaksin awal terhadap ahli parlimen dan Adun terlebih dahulu, Gooi menuduh Muhyiddin tidak mempromosikan kepercayaan masyarakat atau mendapatkan kepercayaan masyarakat terhadap rancangan vaksinasi kerajaan.

"Saya meminta perdana menteri untuk mengkaji semula keputusannya dalam memberi semua anggota parlimen dan Adun keutamaan vaksinasi Covid-19 berbanding orang lain," tambahnya.

Lihat Komen
ADS