Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Aktiviti judi akan tambah parah ke atas luka rakyat'
Diterbitkan:  Feb 18, 2021 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Pemimpin PAS melontarkan harapan agar kerajaan persekutuan membuat pertinbangan semula berhubung kebenaran operasi operator perjuadian berlesen.

Anggota Parlimen Pasri Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata walaupun sektor itu mengutip hasil cukai yang tinggi, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan semula aktiviti ini dilaksanakan.

"Apatah lagi jika dibincangkan dari sudut keperluan dan keutamaan, aktiviti perjudian bukannya satu 'essential services' yang perlu disegerakan perkhidmatannya.

"Dalam situasi rakyat sedang tertekan akibat wabak pandemik Covid-19 ini, membenarkan aktiviti perjudian hanya akan menambah parah ke atas luka rakyat," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini pada 16 Feb lalu melaporkan syarikat pengendali kasino, Resort World Genting (Resort World), serta syarikat nombor ramalan hari ini mengumumkan mereka kembali operasi selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Pengumuman itu dibuat Resort World bersama syarikat Sports Toto, Magnum Bhd dan Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (Da Ma Cai) melalui media sosial serta laman sesawang masing-masing.

Untuk rekod melalui perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula 13 Jan lalu syarikat terbabit tidak dibenarkan menjalankan aktiviti mereka.

Sementara itu Ahmad Fadhli berkata, dia turut menghantar nota kepada menteri kewangan untuk membuat penilaian semula dan yakin, adanya ruang untuk kerajaan mempertimbangkan semula perkara itu.

"Ia dibimbangi hanya akan mencetuskan masalah sosial yang lain dan tidak berbaloi dengan cukai yang berjaya dikutip oleh kerajaan nanti.

"Sudah tentu jika dilihat di dalam Islam sekalipun, ia merupakan dosa besar yang dibenci bahkan dalam semua agama-agama utama di dunia juga, judi dianggap perbuatan yang tidak bermoral," katanya.

Tambah timbalan Pemuda PAS itu, berdasarkan semakannya keseluruhan cukai judi yang dikutip oleh kerajaan agak lumayan yang mana pada tahun 2019 (sehingga September), kerajaan mengutip cukai sebanyak RM2.72 billion, manakala tahun 2018 sebanyak RM2.018 billion daripada aktiviti perjudian.

Lihat Komen
ADS