Malaysiakini
BERITA

Masuk Siam ikut lorong tikus, 4 warga M’sia ditahan di Takbai

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Feb 2021, 3:07 pagi

Ketika sempadan belum dibuka dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19, masih ada warga Malaysia yang berdegil dan memasuki negara jiran secara haram.

Ia terbukti apabila empat lelaki Malaysia - termasuk seorang remaja - ditahan pihak berkuasa Thailand dalam satu sekatan jalan raya di Salamai, Takbai dalam Wilayah Narathiwat kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Menurut sumber pihak berkuasa Thailand, turut ditahan dua lelaki warga Thailand yang dipercayai membawa empat individu dari Malaysia menaiki kereta jenis Honda Accord.

"Apabila tiba di lokasi sekatan, pemeriksaan dibuat terhadap mereka dan mendapati empat individu dari Malaysia tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis Wilayah Narathiwat untuk siasatan lanjut," kata sumber yang enggan namanya disiarkan.

Difahamkan empat individu berkenaan dipercayai menyeberang sempadan melalui sungai menggunakan laluan tikus dan berjaya melepasi kawalan keselamatan kedua-dua negara.

Sumber berkata kesemua mereka berusia seawal 16 tahun hingga 27 tahun.

Katanya semakan kad pengenalan menunjukkan tiga daripada mereka beralamat di Melaka, manakala seorang lagi di Selangor.

"Mereka dibawa ke ibu pejabat polis Wilayah Narathiwat untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak imigresen Thailand," katanya.

Sementara itu Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid, ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan penahanan individu terbabit.

"Ya, kami telah menerima maklumat berhubung tangkapan tersebut," katanya ringkas.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.