Nota editor: Chan Eu Boon mengaku bersalah pada Ogos 2022 atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung hantaran “TOP 10 SUGAR BABY UNIVERSITY IN MALAYSIA” dan membayar denda berjumlah RM7,000. Dia tidak pernah didakwa atas kes rogol atau pelacuran; waran tangkap telah dibatalkan, dan SugarBook tidak pernah diisytiharkan sebagai haram.
Polis menahan semula pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dan pelacuran membabitkan seorang penuntut universiti.
Penahanan itu berlaku pada hari sama permohonan polis untuk menahan reman lelaki berusia 34 tahun itu ditolak mahkamah majistret Shah Alam pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Selangor Fadzil Ahmat berkata lelaki terbabit ditahan untuk disiasat berhubung kejadian berlaku di Subang Jaya pada 19 Feb 2019.
"Pengadu merupakan seorang penuntut universiti," katanya dalam satu kenyataan.
Pagi tadi cubaan polis menahan reman lelaki berkenaan ditolak selepas dia dibawa ke mahkamah.
Peguam, Foong Cheng Leong, memberitahu Timbalan Pendaftar mahkamah Shah Alam Noorasyikin Sahat menolak permohonan polis selepas lelaki terbabit memberi aku janji akan memberi kerjasama penuh kepada polis.
Sebelum itu lelaki terbabit ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur semalam.
