Johari nafi halang Dr M bertanding
Ketua Umno bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum menafikan pucuk pimpinan Umno telah mengarahkan beliau menghalang bekas "bosnya", Tun Dr Mahathir Mohamad daripada terpilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung dalam mesyuarat bahagian itu Sabtu ini.
Ketua Umno bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum menafikan pucuk pimpinan Umno telah mengarahkan beliau menghalang bekas "bosnya", Tun Dr Mahathir Mohamad daripada terpilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung dalam mesyuarat bahagian itu Sabtu ini.
"Saya tidak pernah mengarahkan ahli-ahli Umno jangan mengundi beliau (Dr Mahathir), terpulang kepada mereka," jelas beliau bila ditemui oleh para wartawan di lobi bangunan Parlimen hari ini.
Semalam Dr Mahathir mendakwa pucuk pimpinan Umno telah mengeluarkan arahan kepada bahagian Kubang Pasu jangan memilih beliau sebagai perwakilan dalam mesyuarat bahagian itu pada 9 September ini. Bekas Perdana Menteri itu adalah ketua bahagian tersebut sehingga tahun 2003.
Johari telah menggantikan Dr Mahathir sebagai ketua Umno bahagian tersebut dan menjadi ahli parlimennya. Beliau dianggap sebagai "anak didik" Dr Mahathir kerana pernah menjadi Setiausaha Politiknya.
Dr Mahathir juga mendakwa Majlis Tertinggi Umno telah mengarah Johari supaya menghalang beliau dari terpilih dalam pemilihan perwakilan berkenaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri itu telah menolak dakwaan Dr Mahathir itu dengan perasaan marah..
"Dr Mahathir hanya mendapat 16 pencalonan daripada 143 cawangan. Ini bermakna hanya 16 cawangan mahu beliau bertanding dan yang lainnya menolak beliau. Dr Mahathir sebenarnya marah kerana mendapat pencalonan tidak sampai 10 peratus ," tegas Johari.
Setiap bahagian Umno boleh menghantar 13 perwakilan ke perhimpunan agung dan daripada jumlah itu, tujuh orang dipilih oleh perwakilan di mesyuarat bahagian. D Mahathir adalah salah seorang daripada 17 calon yang bertanding untuk menjadi perwakilan Kubang Pasu kali ini.
Beliau juga menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad telah melawat bahagian Kubang Pasu untuk mempengaruhi para perwakilan.
"Radzi tidak pernah datang ke bahagian saya, kami tidak pernah mengundangnya dan tidak ada sebarang majlis yang menghendaki kehadirannya," ujar beliau.
Bagaimanapun beliau tidak menafikan Radzi ada "singgah" di Kubang Pasu dalam perjalanannya pulang ke Perlis baru-baru ini. Berita asal

